Thailand lantik wakil khas ke Myanmar


Thailand lantik penasihat kepada Menteri Luar, Pornpimol Kanchanalak sebagai wakil khasnya yang pertama ke Myanmar. – Gambar fail EPA, 27 April, 2022.

THAILAND melantik penasihat kepada Menteri Luar, Pornpimol Kanchanalak sebagai wakil khasnya yang pertama ke Myanmar.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Don Pramudwinai berkata wakil khas baharu dilantik itu akan memantau hal ehwal luar negara di Myanmar mengikut inisiatif dan dasar Kementerian Luar serta melaporkan kepada menteri.

“Wakil itu akan menyelaras tugas dengan agensi dan sektor swasta di Myanmar serta mewakili Thailand dalam sebarang rundingan, mesyuarat dan seminar berkaitan negara itu.

“Pelantikan itu perlu kerana Myanmar merupakan negara jiran yang sangat penting dan strategik,” kata Don dalam satu kenyataan.

Tambahnya, wakil khas itu akan memberi laporan secara terus kepada Kementerian Luar.

Sementara itu, Bangkok Post melaporkan pelantikan Pornpimol susulan pengelamannya luasnya tentang negara jiran itu.

“Beliau telah memainkan peranan penting sebagai penasihat kementerian, tetapi peranannya terhad dari segi penglibatan dengan pegawai berpangkat tinggi dari luar negara.

“Pelantikannya ke jawatan baharu itu membenarkan beliau melaksanakan tugas dengan lebih menyeluruh,” kata Don.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu António Guterres mengumumkan pelantikan Noeleen Heyzer dari Singapura sebagai Wakil Khas baharu ke Myanmar pada Oktober lalu manakala Asean melantik Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn sebagai utusan khasnya ke Myanmar.

Mesyuarat Pemukiman Asean yang berlangsung pada pertengahan Februari, mengarahkan Prak bekerjasama rapat dengan Noeleen Heyzer.

Menurut pertubuhan hak asasi manusia, Persatuan Kebajikan Tahanan Politik (Burma), sekurang-kurangnya 1,780 orang awam terbunuh manakala lebih 10,000 ditahan dan hampir 1,000 dipenjarakan sejak rampasan kuasa di negara itu. – Bernama, 27 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen