PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah terhadap Dr Mahathir Mohamad susulan dakwaan beliau meminta bantuan bekas perdana menteri itu berhubung kes mahkamah.
Saman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 April lalu melalui Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq.
Dalam tuntutan samannya Zahid memohon injunksi untuk menghalang Dr Mahathir mengulangi dakwaan serta menuntut ganti rugi teruk, am dan teladan.
Zahid juga menafikan ada bertemu Dr Mahathir yang juga pengerusi Pejuang selepas pilihan raya umum 2018 bagi meminta bantuan untuk menggugurkan kes rasuah terhadapnya.
Beliau mendakwa kenyataan Dr Mahathir pada satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada 23 Februari tidak berasas dan berniat jahat.
Dr Mahathir nafi memfitnah Zahid dalam jawapan terhadap notis saman pada 2 Mac.
Awal bulan ini, Zahid juga memfailkan saman fitnah terhadap Muhyiddin Yassin, yang mendakwa beliau meminta pengerusi Bersatu itu campur tangan dalam kes mahkamahnya.
Semasa kempen pilihan raya negeri Johor bulan lepas, Muhyiddin mendakwa Zahid meminta bantuan ketika beliau jadi perdana menteri.
Zahid dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah bagi pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM42 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd berhubung sistem Visa Luar Negara.
Zahid turut didakwa atas tujuh tuduhan lagi kerana memperoleh wang tunai S$1.15 juta, RM3 juta, €15,000 dan AS$15,000 sebagai menteri dalam negeri daripada syarikat yang sama berhubung kerja rasminya. – 27 April, 2022.
Komen