PERANCIS akan melancarkan serangan jika terbukti rejim Syria menggunakan senjata kimia yang dilarang terhadap orang awam, kata Presiden Emmanuel Macron pada Selasa.
“Kami akan menyerang tempat ia dilancarkan atau diatur,” kata Macron.
“Tetapi hari ini kami masih tiada bukti yang senjata kimia terlarang digunakan terhadap penduduk awam,” katanya.
“Sebaik sahaja bukti itu ada, saya akan melakukan apa yang saya katakan,” kata Macron memberi amaran, sambil menambah “keutamaan adalah perjuangan menentang pengganas, militan”.
Mengenai rejim Syria sendiri, sama ada semasa atau selepas konflik; “ia per menjawab dengan mahkamah antarabangsa” tambahnya.
Macron juga menggesa mesyuarat antarabangsa mengenai Syria diadakan di rantau ini.
Melalui perbualan telefon dengan Presiden Rusia Vladimir Putin pada Jumaat, Macron berkata beliau “bimbang dengan tanda yang memberi petunjuk kemungkinan penggunaan klorin dalam beberapa kejadian terhadap penduduk awam di Syria beberapa minggu lalu”.
Rusia campur tangan bersama pasukan rejim Syria dalam perang saudara yang berlangsung selama tujuh tahun dan Putin dilihat sebagai pemimpin asing dengan pengaruh paling besar terhadap Presiden Syria Bashar al-Assad.
Menerima kedatangan Putin di Versailles pada Mei 2017, Macron mengisytiharkan Perancis akan bertindak segera dengan penggunaan sebarang senjata kimia di Syria.
Menurut Washington, sekurang-kurangnya enam serangan klorin dilaporkan sejak awal Januari di kawasan pemberontak, dengan puluhan mengalami kecederaan.
Kerajaan Syria pada akhir Januari menafikan melakukan serangan senjata kimia dan sekutunya Moscow mengecam tuduhan itu sebagai “kempen propaganda”, menekankan yang pelaku belum dikenal pasti.
Walaupun Perancis, seperti Amerika Syarikat, mengesyaki rejim Syria, ia mengatakan belum mempunyai bukti konkrit mengenai sifat dan asal serangan itu.
Pada Rabu lalu, Menteri Luar Jean-Yves Le Drian berkata, “semua petunjuk” menunjukkan pasukan Assad menggunakan senjata klorin dalam perang saudara menentang pasukan pemberontak, tetapi dengan berhati-hati berkata “kita tidak sepenuhnya mendokumentasikan ini”.
Tetapi Menteri Pertahanan Florence Parly enggan memberi komen lanjut pada Jumaat apabila ditanya apakah Damsyik melampaui “garis merah” ditetapkan.
“Kami mempunyai beberapa petunjuk penggunaan klorin, tetapi kami tidak mempunyai pengesahan mutlak. Jadi, usaha pengesahan ini yang kami lakukan dengan orang lain kerana kami perlu membuktikannya,” katanya.
Damsyik berulang kali dituduh menggunakan senjata kimia, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di antara yang menyalahkan tentera kerajaan kerana serangan gas sarin pada April 2017 ke atas kampung dikuasai pembangkang Khan Sheikhun yang menyebabkan ramai terkorban. – AFP, 14 Februari, 2018.
Komen