AS tawar AS$10 juta cari perisik Rusia


Enam perisik tentera Rusia didakwa menjadi dalang serangan siber sehingga menjejaskan perniagaan di seluruh dunia pada 2017, kata Jabatan Negara AS. – Gambar EPA, 27 April, 2022.

GANJARAN AS$10 juta ditawarkan bagi sebarang maklumat untuk membantu proses pendakwaan enam perisik tentera Rusia, yang didakwa menjadi dalang serangan siber sehingga menjejaskan perniagaan di seluruh dunia pada 2017, kata Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) semalam.

Enam perisik yang dikaitkan dengan perisikan tentera Rusia Unit 74455 itu didakwa di mahkamah AS pada Oktober lalu atas beberapa tuduhan menggodam, termasuk menjejaskan grid tenaga elektrik Ukraine.

Jabatan AS dalam kenyataannya semalam berkata sebanyak AS$10 juta ditawarkan bagi sebarang maklumat untuk mencari mana-mana daripada enam individu terbabit yang dipercayai berada di Rusia.

Kenyataan itu menyebut, enam suspek berkenaan terbabit dalam serangan malware pada 2017 yang dikenali sebagai NotPetya, yang menjejaskan perniagaan di seluruh dunia, termasuk merosakkan komputer di hospital merentasi AS.

Pihak berkuasa menganggarkan kerugian sehingga AS$1 bilion.

Kremlin menafikan dakwaan ke atas anggota tenteranya, mendakwa ia merupakan kempen Rusofobia yang dilancar AS bagi  mencetus ketakutan, kebencian atau prejudis terhadap Rusia.

Sebelum ini, unit risikan Rusia, GRU, dituduh melakukan beberapa serangan siber di serata dunia termasuk campur tangan dalam pemilihan presiden AS pada 2016. – AFP, 27 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen