Bersatu cadang PAS kerjasama dengan Umno, elak kalah teruk


Zulkifli Sulong

Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Abdul Rahman menyarankan PAS bergabung dengan parti besar jika ingin menang dalam Pilihan Raya ke-14 nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2018.

NAIB Presiden Bersatu, Abdul Rashid Abdul Rahman menyarankan agar PAS bekerjasama dengan Umno dalam pilihan raya umum akan datang bagi mengelakkan parti Islam itu kalah teruk.

Jelasnya, saranannya itu berdasarkan pemerhatiannya ketika menjadi pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang PAS hanya akan menang ketika bergabung dengan parti besar.

“Ikut pengalaman saya sebagai bekas pengerusi SPR, PAS hanya menang bila bekerjasama dengan parti lain. Kalau dia seorang kalah teruk.

“Saya tahulah, sebelum ini saya memang mengkaji pergerakan PAS ini ketika bersama SPR. Dia menang bila kerjasama dengan pihak lain yang kuat, bukan dengan parti-parti kecil.

“Jadi saya sarankan kepada PAS, kerjasamalah dengan Umno dalam pilihan raya akan datang, kalau sudah tidak mahu bekerjasama dengan pembangkang lain,” katanya.

Saranan itu timbul apabila Pakatan Harapan (PH) kini menunjukkan sikap yang jelas untuk menolak PAS, susulan pengumuman Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan parti Islam itu.

Pemimpin akar umbi PH Selangor berpendapat, isu berhubung perbincangan dengan Azmin dan PAS itu menjadi batu penghalang kepada rundingan kerusi PH di Selangor.

Rundingan untuk agihan kerusi PH Selangor bagi peringkat DUN masih berlarutan dan dijangka hanya akan dimuktamadkan selepas sambutan Tahun Baru Cina.

PAS kini membentuk Gagasan Sejahtera (GS) bersama Ikatan dan Parti Cinta Malaysia (PCM), dua buah parti kecil. 

PAS dan GS mensasarkan untuk bertanding lebih 130 kerusi Parlimen di Malaysia dan yakin akan menang 40 kerusi untuk menjadi kuasa penentu (king maker) selepas PRU14 nanti.

Mengikut sejarahnya, PAS pernah bekerjasama dengan empat parti kecil, iaitu Parti Rakyat Malaysia (PRM), Nasma dan SDP serta Majlis Perundingan Cina (CCC) pada pilihan raya 1986 tetapi kalah teruk.

PAS hanya menang besar apabila bekerjasama dengan parti besar termasuk dengan Angkatan Perpaduan Ummah (1990), Barisan Alternatif (1999), dan ketika bekerjasama dengan PKR dan DAP semasa pilihan raya 2008 dan seterusnya dalam Pakatan Rakyat (2013). 

Pada PRU1990, PAS berjaya mengambil alih negeri Kelantan dan kekal sehingga sekarang. Dalam PRU1999 ia berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu manakala PRU 2008 menang di Kelantan dan Kedah serta Perak dan Selangor.

Namun PAS keluar daripada Pakatan Rakyat yang merangkumi PKR dan DAP selepas PRU13. Pada Muktamar 2017, PAS memutuskan hubungannya dengan PKR dan tetap tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu walaupun sesetengah pemimpinnya berusaha ke arah itu. – 14 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sekurang kurangnya kalu.pas berkolaborasi dengan umno tidak akan.mendatangkan kesan keoada keruntuhan agama islam tapi krrjasama bersatu dengan dap boleh menghancurkan dan melemahkan agama islam dimalaysia.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan