Uber didenda AS$19 juta langgar undang-undang pengguna Australia


Uber didapati bersalah memaparkan anggaran tambang teksi apabila harga berada di bawah perkhidmatan perkongsian perjalanan. – Gambar EPA, 26 April, 2022.

UBER didenda kira-kira AS$19 juta selepas mengaku melanggar undang-undang pengguna Australia dengan membuat kenyataan palsu atau mengelirukan, lapor Xinhua.

Badan pemantau pengguna persekutuan, Australian Competition and Consumer Commission (ACCC), pada Selasa mengumumkan bahawa mesej amaran yang dipaparkan antara Disember 2017 dan September 2021 pada aplikasi Uber mengelirukan pengguna.

“Mesej ‘anda mungkin dikenakan sedikit bayaran kerana pemandu anda sudah dalam perjalanan’ ,” diterima pengguna meskipun mereka berada dalam tempoh pembatalan percuma yang ditawarkan Uber.

Pengerusi ACCC Gina Cass-Gottlieb berkata lebih 2 juta rakyat Australia menerima amaran pembatalan yang mengelirukan itu sebelum ia dihentikan.

“Uber mengakui ia mengelirukan pengguna Australia selama beberapa tahun, dan mungkin menyebabkan sesetengah daripada mereka memutuskan untuk tidak membatalkan perjalanan mereka selepas menerima amaran pembatalan itu, walaupun mereka berhak untuk membatalkan secara percuma di bawah polisi Uber sendiri,” menurutnya. 

Suruhanjaya itu juga mendapati Uber secara salah memaparkan anggaran tambang teksi apabila harga berada di bawah perkhidmatan perkongsian perjalanan.

“Platform digital seperti Uber perlu mengambil langkah sepatutnya untuk memantau ketepatan algoritma mereka dan kenyataan yang dikeluarkan yang mungkin menjejaskan pilihan pengguna perkhidmatan,” kata Cass-Gottlieb.

ACCC dan Uber bersetuju untuk mendapatkan perintah mahkamah persekutuan Australia dan gergasi perkongsian kenderaan itu dijangka membayar penalti sebaik sahaja tarikh ditetapkan. – Bernama, 26 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen