China gesa Israel, Palestin bertenang elak krisis lebih meruncing


China menggesa Israel menghentikan tindakan merobohkan rumah dan mengusir rakyat Palestin, memperluas kawasan penempatan Yahudi. – Gambar EPA, 26 April, 2022.

CHINA menggesa Israel dan Palestin bertenang serta tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan, kata Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun dalam perbahasan umum Majlis Keselamatan PBB, pada Isnin.

Beliau berkata China membantah sebarang serangan yang menyasarkan rakyat jelata dan menentang apa jua tindakan yang bercanggah dengan sejarah mana-mana tempat ibadat. 

“Masalah Palestin menjadi isu teras Asia Barat. Tidak kira bagaimana situasi antarabangsa berkembang, isu Palestin tidak boleh diketepikan atau dilupakan.

“China menggesa Israel menghentikan tindakan merobohkan rumah dan mengusir rakyat Palestin, memperluas kawasan penempatan Yahudi, selain menyediakan suasana baik bagi pembangunan komuniti penduduk Palestin di kawasan Tebing Barat,” kata Zhang.

Dalam pada itu, China menggesa sekatan terhadap Semenanjung Gaza dibatalkan secepat mungkin.

Beliau berkata China menunggu untuk melihat adanya dialog peringkat tinggi antara Israel dengan Palestin bagi mengadakan rundingan damai secepat mungkin.

“Masyarakat antarabangsa digesa untuk menggalakkan kedamaian di Asia Barat berdasarkan resolusi PBB dan prinsip ‘pertukaran tanah untuk perdamaian’,” kata Zhang.

Beliau turut menegaskan China menyokong penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka sepenuhnya berdasarkan sempadan 1967 dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Tambah Zhang, China juga menyokong kewujudan bersama Palestin dan Israel secara aman, dan pembangunan bersama dua bangsa Arab dan Yahudi.

“China akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk memberikan sumbangan demi penyelesaian isu Palestin secara menyeluruh dan adil,” katanya. – Bernama, 26 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen