Rusia beri amaran Perang Dunia Ketiga akan terjadi


Seorang wanita berjalan di hadapan blok pangsapuri dengan mural patriotik oleh artis Rusia Ilya Demchinko bagi menyokong operasi ketenteraan khas Moscow di Ukraine, di bandar Reutov, dekat Moscow, Rusia. – Gambar EPA, 26 April, 2022.

RUSIA telah mengeluarkan amaran tentang ancaman “sebenar” Perang Dunia Ketiga akan terjadi menjelang pertemuan antara Amerika Syarikat (AS) dan sekutu pada Selasa berhubung penghantaran senjata ke Ukraine.

Operasi ketenteraan Moscow ke atas jirannya telah mencetuskan sokongan Barat yang memberikan senjata kepada Ukraine bagi membantu menentang Rusia.

Namun kuasa Barat enggan untuk terlibat secara langsung kerana bimbang akan mencetuskan konflik terhadap Rusia yang mempunyai senjata nuklear.

Bercakap kepada agensi berita Rusia, Menteri Luar Moscow Sergei Lavrov memberi amaran risiko Perang Dunia Ketiga “adalah serius” dan mengkritik pendekatan Kyiv terhadap rundingan damai yang membingungkan.

“Ia benar, anda tidak boleh pandang rendah,” kata Lavrov.

Sejak berbulan-bulan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky telah meminta senjata berat daripada sekutu Barat, berikrar tenteranya boleh mengubah arus perang dengan lebih banyak senjata.

Seruan itu nampaknya bergema sekarang, dengan sejumlah negara Nato berikrar menyediakan pelbagai senjata dan peralatan berat, walaupun dibantah Moscow.

Dalam lawatan penting ke Kyiv pada hujung minggu, ketua Pentagon Lloyd Austin dan Setiausaha Negara Antony Blinken bertemu Zelensky dan menjanjikan bantuan baharu sebanyak AS$700 juta kepada Ukraine.

“Langkah pertama untuk menang ialah percaya yang anda boleh menang,” kata Austin kepada wartawan selepas bertemu pemimpin Ukraine itu.

“Kami percaya kita boleh menang. Mereka boleh menang jika mereka ada peralatan yang betul, sokongan yang betul.”

Malah, atas jemputan AS, 40 negara juga akan mengadakan sidang kemuncak keselamatan di Jerman pada Selasa bagi membincangkan pemberian lebih senjata kepada Ukraine, serta memastikan keselamatan jangka panjang negara itu sebaik perang berakhir.

Antara negara yang dijemput ialah sekutu Eropah Amerika Syarikat, Australia dan Jepun yang bimbang kemenangan Rusia di Ukraine akan menjadi contoh dan menggalakkan cita-cita wilayah China.

Finland dan Sweden, negara neutral yang mempertimbangkan keanggotaan Nato sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, juga berada dalam senarai tetamu. – AFP, 26 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen