Hanya Anwar boleh pimpin PKR dalam PRU15, kata pemerhati politik


Angie Tan

Pemerhati politik berkata Anwar Ibrahim masih perlu memimpin PKR dalam PRU15 walau ada desakan memintanya berundur selepas kalah tiga pilihan raya negeri berturut-turut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2022.

ANWAR Ibrahim masih perlu memimpin PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walau ada desakan memintanya berundur selepas kalah tiga pilihan raya negeri berturut-turut, kata pemerhati politik.

Ada perkara yang boleh dilakukan bekas timbalan perdana menteri itu bagi mendapatkan semula keyakinan pengundi terhadap PKR dan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikannya.

Malah, menurut Liew Wui Chern dari Universiti Tunku Abdul Rahman Malaysia, mereka yang mahu Anwar berundur pun sedar tiada pemimpin lain dapat memimpin PKR.

Ini dapat dilihat apabila tiada langsung pencabar untuk merebut jawatan presiden PKR dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung, katanya.

Anwar menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR manakala jawatan timbalan presiden ditandingi oleh setiausaha agung Saifuddin Nasution Ismail dan naib presiden Rafizi Ramli.

“Jika benar ada pengganti yang berpotensi, mereka akan uji keberanian dan menggunakan pemilihan parti, tetapi tiada pemimpin seperti itu muncul,” kata Liew, yang mengajar kewartawanan.

Bagaimanapun, Anwar dapat membantu dirinya, PKR dan PH dengan memberi jaminan kepada pengundi yang beliau sanggup mengetepikan matlamat peribadinya untuk menjadi perdana menteri, tambahnya.

Persepsi yang Anwar berkeras untuk menjadi perdana menteri dan kewujudan PKR atas sebab ini, bukanlah masalah terbesar parti itu, walaupun ia merupakan salah satu isu, kata Liew.

“Selepas tamat pemilihan parti, apa yang Anwar boleh buat, beliau perlu merangka pelan penggantinya, dan beliau tidak boleh lagi samar-samar tentang itu.

“Jelaskan kepada dunia yang beliau boleh mengetepikan cita-citanya untuk jadi perdana menteri. Kemudian barulah keyakinan pengundi dapat dipulihkan. Ini akan ubah persepsi yang parti itu wujud untuk beliau jadi perdana menteri.”

Lebih 20 tahun lalu, Anwar sepatutnya menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri namun mereka telah bertelagah. Pemecatannya adalah atas alasan rasuah dan liwat, yang didakwa Anwar dan penyokongnya sebagai tuduhan bermotif politik. Episod itu mencetuskan gerakan Reformasi dan permulaan PKR yang ketika itu dikenali sebagai KeADILan.

Selepas dibebaskan dari penjara, Anwar telah beberapa kali mendakwa beliau mempunyai cukup bilangan sokongan ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri, tetapi ini tidak pernah jadi kenyataan. Beliau juga kerap beri gambaran yang beliau ada dokumen yang membuktikan sokongan terhadapnya.

Liew berkata sebenarnya rasa tidak puas hati terhadap Anwar mengenai dakwaan yang tidak dipenuhi itu telah lama wujud.

“Sehingga kekalahan PKR atau prestasi buruk dalam pilihan raya negeri baru-baru ini di Melaka, Sarawak dan Johor, barulah suara yang mendesak beliau berundur menjadi semakin kuat.”

Penolong Profesor Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Lau Zhe Wei berkata daripada tiga parti PH, DAP adalah yang paling stabil dan mempunyai peluang terbaik untuk memenangi lebih banyak kerusi, terutama dalam kalangan kaum Cina dan kawasan pedalaman.

“Amanah dan PKR tidak akan dihapuskan tetapi mungkin sukar untuk menang lebih banyak kerusi,” kata Lau, menambah PH secara keseluruhan perlu berkempen untuk PRU15 dengan naratif baharu bagi menambat semula pengundi.

“Naratif pada 2018 adalah memerangi rasuah dan ia sangat berkesan pada masa itu,” katanya, merujuk kepada skandal 1MDB Najib Razak.

“Tetapi dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, PH hanya mengetengahkan kritikan terhadap parti lain, yang tidak menarik.”

Sebaliknya, Cheah See Kian, seorang pengulas media dan politik dalam akhbar berbahasa Cina, berkata mereka yang menggesa Anwar bersara sekarang sebenarnya tidak berlaku adil sama sekali, kerana beliau sahaja tidak boleh dipersalahkan atas kehilangan kuasa PH di peringkat persekutuan mahupun kerana keputusan pilihan raya negeri baru-baru ini.

“Dalam pilihan raya Sarawak misalnya, negeri itu tidak pernah jadi kubu kuat PKR. Dan dalam Langkah Sheraton, sebagai contoh, kesalahan kejatuhan PH harus dikaitkan dengan perdana menteri ketika itu Dr Mahathir dan (kini presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin, bukan Anwar,” kata Cheah.

Anwar, pada usia 74 tahun, masih “muda” jika dibandingkan dengan Dr Mahathir, dan dengan itu masih mampu memimpin pembangkang dalam PRU15, tambahnya.

“Anwar masih perlu diberi peluang untuk memimpin.” – 28 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen