Banjir kilat landa Kuala Lumpur


Elill Easwaran

Keadaan jalan di Kuala Lumpur yang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat pukul 3 petang tadi. – Gambar Facebook, 25 April, 2022.

BEBERAPA kawasan di ibu negara dilanda banjir kilat susulan hujan lebat mulai jam 3 petang hari ini.

Melalui hantaran di Facebook, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata kawasan yang terjejas termasuk Jalan Kuching, Jalan Tunku Abdul Halim (Jalan Ipoh), Jalan Segambut, Jalan Semantan, Jalan Kinabalu, Jalan Changkat Thambi Dollah dan Jalan Travers.

Menurut Pusat Pengurusan Pengangkutan (Itis) DBKL, sebanyak 14 laluan utama di ibu negara dinaiki air setakat jam 4.30 petang.

Banjir kilat ini mengakibatkan kesesakan lalu lintas di kebanyakan kawasan bandar.

Imej banjir dan lalu lintas juga turut dikongsi di media sosial.

Bulan lalu hujan lebat luar biasa yang berlangsung selama dua jam juga menyebabkan banjir kilat di Kuala Lumpur, menyebabkan banyak kereta terkandas di jalan raya.

Jabatan Meteorologi Malaysia bulan lepas berkata hujan lebat dan ribut petir pada fasa peralihan monsun, yang bermula dari 14 Mac hingga Mei, berpotensi menyebabkan banjir lagi di beberapa bahagian di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Fasa peralihan monsun menandakan berakhirnya monsun timur laut, yang bermula pada 3 November tahun lalu. – 25 April, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen