China beri sumbangan penting pencegahan, rawatan malaria global


China laksana lebih 300 projek bantuan antimalaria, membina pusat pencegahan dan kawalan malaria di 30 buah negara. – Gambar EPA, 25 April, 2022.

UBAT antimalaria dikenali Artemisinin yang dihasilkan China terbukti mampu membantu menghapuskan penyakit berjangkit itu, kata Presiden Xi Jinping.

“China kini aktif mempromosikan penggunaan artemisinin di seluruh dunia melalui pelbagai saluran melibatkan pemberian ubat-ubatan, bantuan teknikal dan pembinaan pusat antimalaria, serta penyediaan latihan kepada kakitangan perubatan.

“Ia sekali gus menyaksikan berjuta-juta nyawa di dunia khususnya di negara membangun berjaya diselamatkan,” katanya dalam perutusan tahniah di Forum Antarabangsa Membina Komuniti Kesihatan Manusia sempena ulang tahun ke-50 Artemisinin, hari ini.

Menurut Xi, China komited berganding bahu dengan masyarakat antarabangsa untuk mempergiat pertukaran dan kerjasama dalam bidang kesihatan awam, bersama-sama menghadapi cabaran global, serta menggalakkan pembinaan bersama komuniti kesihatan manusia.

Forum anjuran bersama Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa China, Suruhanjaya Kesihatan Negara China, dan Pentadbiran Perubatan Tradisional China sempena Hari Pencegahan dan Kawalan Malaria Sedunia itu turut dihadiri duta asing dan ketua pertubuhan antarabangsa di China.

Sehingga kini, China telah melaksanakan lebih 300 projek bantuan antimalaria, membina pusat pencegahan dan kawalan malaria di 30 buah negara, menghantar pasukan perubatan terdiri 28,000 petugas ke 72 negara dan wilayah, selain melatih puluhan ribu kakitangan teknikal antimalaria untuk negara membangun. – Bernama, 25 April, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen