POLIS di tengah Paris melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta yang meluru ke arah mereka sekali gus membunuh dua orang yang berada di dalam kenderaan itu, kata sumber polis kepada AFP pada petang pilihan raya Perancis.
Kenderaan itu dipandu melawan arus di Pont Neuf ketika ia memecut ke arah polis yang kemudiannya melepaskan tembakan, menurut sumber yang sama.
Dua daripada penumpang kenderaan itu terbunuh dan satu lagi cedera, kata sumber tersebut.
Tempat kejadian di tengah ibu negara itu kemudiannya dipenuhi dengan jumlah polis yang ramai, menurut seorang wartawan AFP.
Pendakwa raya Paris, Laure Beccuau, tiba sekitar 1.30 pagi waktu tempatan.
Siasatan telah dilancarkan atas pertuduhan “cubaan membunuh ke atas orang yang bertanggungjawab dalam pihak berkuasa awam”.
Insiden itu berlaku hanya beberapa jam selepas Presiden Perancis Emmanuel Macron menang pilihan raya, menewaskan pencabar Marine Le Pen dalam perlumbaan yang menyaksikan haluan kanan paling hampir untuk mengambil alih kuasa. – AFP, 25 April, 2022.
Komen