PERTEMPURAN antara kumpulan bermusuhan di Darfur, Sudan membunuh sekurang-kurangnya 168 orang pada Ahad, kata kumpulan bantuan, dalam serangan terbaru keganasan maut yang melanda wilayah bergolak itu.
Darfur, yang dilanda perang saudara sejak 2003, telah menyaksikan peningkatan konflik maut sejak Oktober tahun lepas yang dicetuskan oleh pertikaian terutamanya mengenai tanah, ternakan dan akses kepada air dan tanah ragut.
Pertempuran meletus pada Jumaat di wilayah Krink di Darfur Barat, kata Adam Regal, jurucakap Koordinasi Am untuk Pelarian di Darfur, sebuah kumpulan bantuan bebas.
“Sekurang-kurangnya 168 orang terbunuh pada Ahad dan 98 cedera,” kata Regal, menyuarakan kebimbangan yang jumlah kematian boleh meningkat.
Keganasan tercetus apabila puak bersenjata menyerang perkampungan minoriti Massalit sebagai membalas dendam atas pembunuhan dua anggota suku, kata kumpulan bantuan itu.
Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh pada Jumaat, tambahnya.
Pada Ahad, seorang ketua puak dari minoriti Massalit berkata dia melihat banyak mayat di kampung di wilayah Krink, yang terletak kira-kira 80 kilometer dari ibu kota wilayah Darfur Barat, Geneina.
Pakar perubatan dari Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan memberi amaran tentang keadaan “malapetaka” kesihatan di Darfur Barat, berkata beberapa hospital diserang dalam keganasan itu. – AFP, 25 April, 2022.
Komen