PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky bertemu Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken dan Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin di Kyiv, kata pejabatnya pada Ahad.
Ia merupakan pertemuan pertama antara Zelensky dan pegawai AS sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine bermula pada 24 Februari.
“Hari ini rakyat Ukraine bersatu dan teguh, malah persahabatan dan perkongsian Ukraine-AS lebih kukuh dari sebelumnya!” kata Zelensky melalui Twitter pada Ahad.
Pembantu presiden Oleksiy Arestovych, bercakap semasa wawancara di YouTube awal Ahad, mengesahkan mesyuarat ketika itu sedang berjalan.
“Bercakap dengan presiden. Mungkin mereka boleh membantu,” tambahnya.
Arestovych mengulangi rayuan Ukraine untuk senjata, “kerana selagi tidak ada ‘serangan’, akan ada Bucha baru setiap hari”, tambahnya, merujuk kepada bandar di mana pegawai PBB berkata mereka telah mendokumentasikan kesalahan undang-undang melibatkan kematian lebih kurang 50 orang awam.
“Mereka tidak akan datang ke sini jika mereka tidak bersedia untuk memberikan (senjata),” katanya.
Pada Sabtu, Zelensky berkata beliau berterima kasih atas bantuan yang diberikan Washington kepada Ukraine setakat ini, walaupun beliau mahukan senjata yang lebih berat dan lebih kuat untuk digunakan menentang tentera Rusia.
Semasa temu bual di YouTube, Arestovych berkata di pelabuhan Laut Hitam Mariupol, di mana tentera Ukraine dikepung, pertahanan berada “di ambang kehancuran”. – AFP, 25 April, 2022.
Komen