ANGKA korban susulan gegaran terowong arang batu di selatan Poland meningkat kepada empat nyawa manakala enam lagi masih hilang, kata pemilik lombong JSW hari ini.
“Seorang doktor mengumumkan kematian dua pelombong lain… Angka tragis susulan gegaran semalam di lombong meningkat kepada empat,” kata JSW dalam satu kenyataan selepas pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mayat dua pelombong yang merupakan sebahagian daripada kumpulan empat orang tersebut.
Mayat dua pelombong pertama ditemui awal hari ini.
“Pasukan penyelamat akan terus mencari enam yang lain,” kata JSW.
Menurut JSW keadaan di zon terjejas adalah sukar, sambil menambah: “kepekatan metana yang tinggi dan suhu meningkat secara drastik memperlahankan operasi menyelamat”.
Kemalangan pada Sabtu – kejadian kedua seumpama itu di Poland minggu lepas – berlaku di lombong Zofiowka di selatan negara itu.
Poland, yang bergantung kepada arang batu untuk kira-kira 70% penjanaan bekalan kuasanya, mengalami beberapa bencana perlombongan lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Satu gegaran berlaku di terowong Zofiowka pada 3.40 pagi (waktu tempatan) semalam, 900 meter di bawah permukaan, mencetuskan kebocoran metana.
Semua kecuali 10 daripada 52 pelombong di bawah tanah berjaya menyelamatkan diri.
JSW juga pemilik sebuah lombong di Pniowek – enam kilometer dari Zofiowka – di mana kemalangan pada Rabu mengorbankan lima nyawa, termasuk seorang penyelamat dan menyebabkan tujuh yang lain hilang.
Letupan awal berlaku sejurus selepas tengah malam Rabu pada kedalaman 1,000 meter.
Gegaran kedua berlaku di tapak itu ketika pasukan penyelamat membantu mangsa yang pertama.
Dua puluh orang cedera, termasuk enam melecur serius.
Pencarian tujuh orang yang hilang dibatalkan pada Jumaat selepas letupan ketiga sekal gus menjadikan keadaan di dalam terowong terlalu berbahaya, kata JSW. – AFP, 24 April, 2022.
Komen