Tahanan mati kehausan, 3 pegawai penjara didakwa di AS


TIGA pegawai penjara di Amerika Syarikat didakwa berkaitan dengan kematian seorang tahanan pesakit mental yang mati kerana kekurangan air, kata peguam mewakili tahanan yang mati secara kejam merayu diberikan air.

Skandal itu menggambarkan sisi gelap sistem penjara AS, yang mempunyai salah satu kadar tahanan tertinggi dan jumlah tahanan tak seimbang orang kulit hitam dan Sepanyol Amerika.

Pihak berkuasa penjara di Milwaukee, Wisconsin memotong bekalan air ke bilik tahanan Terill Thomas kerana menganggapnya terlalu bising.

Tujuh hari kemudian, Thomas, 38, seorang rakyat kulit hitam dengan sejarah penyakit mental ditemui mati kerana lemah dan hilang berat badan 15 kilogram.

Dia ditahan selepas menembak dan mencederakan orang sebelum memasuki kasino dan melepaskan tembakan.

Hampir dua tahun selepas kematiannya pada April 2016, polis dan pendakwaraya tempatan mengumumkan pada Isnin yang mereka akan mengenakan dakwaan jenayah kepada dua pegawai wanita dan seorang pegawai lelaki.

Tiga suspek itu termasuklah Nancy Evans, komander pusat tahanan yang dituduh menipu dan menyembunyikan video menunjukkan bilik tahanan Thomas tidak diberikan bekalan air.

Dia berdepan hukuman penjara lebih empat tahun.

Kaskha Meadors dan James Ramsey-Guy pula berdepan hukuman penjara tiga tahun jika disabitkan bersalah mengetahui tetapi tidak bertindak dalam kes itu.

“Dakwaan jenayah ke atas pegawai kerajaan berkaitan kematian tahanan sangat jarang berlaku,” kata Erik Heipt peguam keluarga mangsa kepada AFP.

“Hakikatnya, dakwaan difailkan menunjukkan kekejaman yang berlaku.”

Katanya, dakwaan itu tidak akan memberi kesan kepada saman sivil berasingan yang difailkan keluarga mangsa.

Saman itu mendakwa pemotongan bekalan air ke bilik tahanan adalah amalan biasa dalam penjara dilakukan dalam pengetahuan penuh pegawai berkuasa.

Penderitaan Thomas hanya terbongkar selepas siasatan bebas dilakukan. Pada Mei, panel mendapati wujud sebab untuk mendakwa tujuh pegawai penjara.

Tetapi, pendakwaraya memutuskan untuk mendakwa hanya tiga pegawai. – AFP, 14 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen