Konsensus 5PC Asean belum berhasil


Sekurang-kurangnya 1,780 orang awam terbunuh manakala lebih 10,000 orang ditangkap dan hampir 1,000 dipenjarakan sejak rampasan kuasa di Myanmar. – Gambar fail EPA, 24 April, 2022.

HARI ini, genap setahun lalu, mesyuarat pemimpin Asean di Jakarta mengemukakan rancangan bertujuan menyelesaikan kebuntuan politik di Myanmar dan memulihkan undang-undang serta ketenteraman di negara itu berikutan rampasan kuasa 1 Februari 2021.

Dikenali sebagai Konsensus Lima (5) Perkara (5PC), pelan itu kelihatan meyakinkan dan memperlihatkan kesepaduan pendirian gabungan 10 ahli terhadap isu Myanmar. 5PC turut disambut baik Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memandangkan terdapatnya keperluan mendesak dalam mencari jalan untuk menghentikan kekerasan tatmadaw (tentera) terhadap penunjuk perasaan antirampasan kuasa.

5PC itu adalah menamatkan keganasan; mengadakan perbincangan konstruktif dengan semua pihak berkepentingan; Asean menyediakan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar; pelantikan duta khas Asean untuk melaksanakan rundingan; dan utusan khas terbabit dibenarkan melawat negara itu.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kemajuan ketara dalam membina kepercayaan dengan junta dan mengembalikan Myanmar ke landasan demokrasi melalui 5PC meskipun Asean sudah berusaha sedaya upaya untuk meyakinkan junta yang diketuai Jeneral Min Aung Hliang.

Malah, sejak awal lagi Myanmar menghina Asean dengan tidak membenarkan utusan khasnya masuk ke negara itu. Kemudian, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen yang melawat Myanmar awal tahun ini selepas negaranya mengambil alih pengerusi Asean untuk meneruskan pelan 5PC itu turut kecewa dengan layanan dingin junta.

Jadi mengapa 5PC gagal membuahkan hasil ketara?

Pensyarah kanan di pusat serantau Asean Universiti Malaya Rahul Mishra berkata, walaupun Asean mahu melihat krisis diselesaikan dengan cepat, sambil diperhatikan masyarakat antarabangsa, badan serantau itu harus mengakui teka-teki politik memerlukan lebih banyak masa untuk diselesaikan.

“Seperti mana Asean mahu melaksanakan 5PC dengan segera, tangannya terikat oleh sejarahnya sendiri, prosedur dan konvensyen yang dipersetujui,” katanya merujuk kepada dasar tidak campur tangan Asean yang sekian lama menjadi sebahagian asas badan serantau itu dan dilihat sebagai satu halangan dalam mengambil tindakan ke atas mana-mana negara anggota.

Mishra juga menolak kemungkinan Asean akan mengambil tindakan lebih tegas ke atas Myanmar selain menghalang pemimpin junta menghadiri sidang kemuncak berkaitan, seperti yang berlaku pada Sidang Kemuncak Asean di Brunei Oktober dan Sidang Kemuncak Asean-China pada November.

Beliau berkata, walaupun Asean menganggap pendirian lebih tegas perlu seperti menggantung Myanmar daripada kumpulan itu, ia belum memberikan hasil optimum.

Sebaliknya, katanya Asean akan terus menggunakan diplomasi dan cuba membabitkan junta secara konstruktif melalui dialog.

“ASEAN sebenarnya tidak dalam kedudukan memaksa Myanmar melakukan sebarang tindakan segera. Saya fikir Asean akan meneruskan pengasingan diplomatik terhadap Myanmar sambil terus menggunakan saluran diplomasi.

“Sekiranya tiada sebarang tindakan punitif, Asean akan memberi lebih tekanan dan cuba melaksanakan kuasa normatifnya ke atas Myanmar,” katanya.

Sementara itu, penolong profesor perhubungan antarabangsa di Fakulti Sains Politik Universiti Thammasat, Pinitbhand Paribatra berpendapat Asean memerlukan lebih masa untuk melaksanakan 5PC.

Beliau menekankan 5PC satu langkah penting dan khusus Asean yang membolehkan ia berurusan dengan junta secara terus, mengadakan perbincangan dengan Hlaing dan terlibat secara langsung dengan pihak berkepentingan dalam politik dalaman Myanmar.

“Mengimbau kembali, Asean mengambil masa lebih lama dalam menangani krisis di rantau ini. Dalam kes ini, Asean memerlukan lebih banyak ruang dan masa untuk menyelesaikannya,” katanya.

Memandangkan junta keberatan untuk melaksanakan 5PC, Pinitbhand menyarankan Asean menghasilkan strategi tawar-menawar.

Ini termasuk berurusan dengan parti pembangkang di Myanmar, menekan sektor perniagaan untuk mencari penyelesaian bersama dan mengadakan perbincangan tambahan di peringkat serantau untuk menangani isu itu.

“Prinsip dasar tidak campur tangan selama berdekad-dekad dalam hal ehwal ahli menjadi satu dilema buat Asean. Dasar itu mengehadkan potensi blok itu untuk mengenakan sebarang kritikan dan tekanan kepada junta melalui 5PC,” katanya.

Mengenai sama ada Thailand, sebagai jiran terdekat Myanmar, boleh memainkan peranan lebih berkesan melalui ‘diplomasi senyap’, Pinitbhand berkata, Thailand mengambil pendirian “berdiam’ kerana menjadi hasrat negara itu untuk tidak terbabit dalam proses itu.

“Saya tidak fikir diplomasi senyap Thailand akan membawa manfaat antara junta dan kerajaan Thailand untuk mencari penyelesaian yang sepatutnya. Kerajaan Thailand tidak mahu terlibat dalam hal ehwal Myanmar.

“Setakat ini, seperti yang kita ketahui daripada media, kerajaan Thailand ingin meneruskan diplomasi kemanusiaan tanpa sebarang rundingan atau penyelesaian yang mungkin terhadap konflik atau krisis di Myanmar,” katanya.

Mengenai sama ada rancangan junta untuk melanjutkan perintah darurat sehingga pilihan raya berbilang parti yang dicadangkan pada Ogos 2023, ia “bergantung kepada kestabilan dan keamanan” dan perjanjian gencatan senjata dengan kumpulan bersenjata etnik.

“Peluang untuk bertemu dengan pejuang demokrasi Aung San Suu Kyi dan yang lain ditolak oleh rejim. Media dan hak kebebasan rakyat masih dipersoalkan di negara itu.

“5PC tidak mencapai jangkaan organisasi, berdasarkan perkembangan tahun lalu,” katanya.

Bagi ahli pengasas Majlis Penasihat Khas Myanmar (SAC-M) Marzuki Darusman, junta tidak mencapai satu hasil pun daripada 5PC.

“Perjanjian itu gagal dan perubahan haluan Asean diperlukan,” kata Marzuki.

Seorang lagi ahli pengasas Yanghee Lee berpendapat kegagalan itu kerana Asean terlibat dengan pihak yang salah.

“Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) mewakili Myanmar dan merupakan parti yang sesuai untuk memimpin pembabitan dengan Asean. NUG menunjukkan ia rakan kongsi baik untuk Aseanmembuat sebarang kemajuan ke arah menyelesaikan krisis itu,” katanya.

SAC-M adalah kumpulan bebas pakar antarabangsa yang menyokong rakyat Myanmar dalam perjuangan hak asasi manusia, keamanan, demokrasi, keadilan dan akauntabiliti.

Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Myanmar berkata, sehingga 11 April, sejumlah 566,100 orang hilang tempat tinggal akibat pertempuran dan keadaan tidak aman sejak rampasan kuasa Februari 2021.

Menurut organisasi hak asasi manusia Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (Myanmar), sekurang-kurangnya 1,780 orang awam terbunuh manakala lebih 10,000 orang ditangkap dan hampir 1,000 dipenjarakan sejak rampasan kuasa.

Suu Kyi dan penentang junta yang lain dikenakan tuduhan rasuah untuk menghalang mereka daripada kembali ke kancah politik. – Bernama, 24 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen