SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia (SC) mengambil tindakan terhadap Serba Dinamik Holdings Berhad demi kepentingan orang ramai, untuk menggalakkan integriti dan kebolehpercayaan penyata kewangan syarikat tersenarai awam, kata pengawal selia dalam satu kenyataan hari ini.
SC juga berkata ia mengecam sebarang percubaan untuk menakut-nakutkan suruhanjaya itu atau pegawainya, dan menjejaskan kuasa dan kredibilitinya.
Sehubungan itu SC membuat laporan polis terhadap Serba Dinamik semalam kerana mengeluarkan pengumuman bertarikh 21 April 2022, yang didakwa mengandungi kenyataan yang tidak berasas dan berniat jahat.
SC berkata pengumuman Serba Dinamik mungkin mempunyai kesan mengelirukan orang ramai dan/atau memberi imej negatif terhadap SC dan pegawainya.
Terdahulu hari ini The Malaysian Insight melaporkan SC membuat laporan polis terhadap firma minyak dan gas itu kerana memfitnah.
Dalam laporan polis itu, pengawal selia mendakwa bahawa pengumuman Serba Dinamik kepada Bursa Malaysia pada Khamis adalah melanggar Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
Dalam pengumumannya, syarikat itu menyertakan lampiran - pemfailan 26 muka surat bertajuk perintah mahkamah bertarikh 7 Februari 2022.
Serba Dinamik dan empat ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanannya sebelum ini didakwa atas kesalahan di bawah undang-undang sekuriti pada Disember 2021 kerana memberikan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad berhubung angka hasil Serba Dinamik sebanyak RM6.01 bilion yang terkandung dalam keputusan disatukan untuk suku dan tahun berakhir 31 Disember 2020.
Berikutan representasi Serba Dinamik kepada Jabatan Peguam Negara, Peguam Negara pada 7 April 2022 bersetuju untuk semua pertuduhan dikompaun.
SC berkata dalam kenyataannya bahawa sebahagian besar dakwaan yang dibuat oleh Serba Dinamik terhadap SC adalah isu dan hujah yang dikemukakan oleh Serba Dinamik dalam pelbagai prosiding Mahkamah Tinggi yang difailkan oleh Serba Dinamik, yang telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi.
“Dalam hal ini, SC ingin menyatakan bahawa penyiasatan berhubung perkara ini telah dijalankan mengikut kuasa berkanunnya dan proses dan prosedur yang ditetapkan, dan secara mutlak menolak tuntutan oleh Serba Dinamik sebagai tanpa sebarang merit.” – 24 April, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen