Selepas setahun, kehilangan pastor terus jadi tanda tanya


Noel Achariam

Isteri Pastor Raymond Koh, Susanna Liew (tengah) pada majlis sembahyang mendoakan keselamatan pastor itu dan supaya siasatan Suhakam disambung kembali. Pastor Raymond Koh diculik 15 lelaki bertopeng pada 13 Februari tahun lepas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 14 Februari, 2018.

SEMALAM, sejumlah 200 orang hadir di Gereja Evengelical Free di Petaling Jaya bagi mendoakan supaya pendengaran awam Suhakam ke atas kehilangan Pastor Raymond Koh yang tertangguh dapat disambung semula kerana ia mampu memberi petunjuk apakah sebenarnya yang berlaku dalam kehilangan misteri pastor itu.

“Kami mahu siasatan Suhakam ada penutupnya. Dengan 12 hari yang dihabiskan dan sudah banyak yang dilakukan, penutupnya masih tergantung. Perlu ada penutup yang sewajarnya untuk perkara ini,” kata Pengerusi Pastro Gereja Evangelical Free David Low kepada The Malaysian Insight.

Low berkata sembahyang itu juga mendoakan supaya Koh selamat ditemui dan dapat bersatu semula dengan keluarganya.

“Itulah hasrat utama kami kerana keluarga mahu berjumpanya apatah lagi Tahun Baru Cina akan berlangsung tak lama lagi. Inilah kepedihan yang mereka rasakan,” katanya.

Koh mempunyai seorang isteri, Susanna Liew serta tiga anak, Jonathan,33, Esther,32, dan Elizabeth,22.

Beliau diculik di Petaling Jaya 13 Februari tahun lepas oleh 15 lelaki bertopeng menggunakan tiga SUV hitam. Penculikan siang hari itu dirakam CCTV dan kelihatan sangat teratur dan profesional.

Suhakam memulakan siasatan awam atas kehilangan Koh dan tiga aktivis lain bagi menilai sama ada kehilangan mereka adalah disebabkan kehilangan paksa yang direstui pihak berkuasa negara ini.

Walaupun begitu, siasatan kehilangan Koh ditangguhkan bulan lepas apabila polis mengumumkan yang mereka akan mendakwa seorang suspek dalam penculikan Koh.

Tindakan polis itu bagaimanapun mengejutkan keluarga Koh kerana tertuduh, Lam Chang Nam yang didakwa kerana peras ugut tahun lepas sudah dibersihkan daripada tuduhan menculik oleh polis sebelum ini.

Pada majlis sama, anak perempuan Koh, Esther turut menayangkan sebuah video kronologi kehilangan bapanya. Matlamatnya, bagi memastikan rakyat Malaysia tidak melupakan kes itu dan bersama-sama menuntut penjelasan apakah sebenarnya yang berlaku.

“Terutamanya kepada mereka yang terlepas mengikuti kejadian yang berlaku ini. Saya harap melalui video ini, Koh akan diingati.

“Kami harap mereka akan kenang Koh dalam doa mereka dan terus bersuara untuk kes ini.” – 14 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen