Laporan PAC isu perolehan MySejahtera dibentang pada sidang Parlimen Julai ini


Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata laporan mengenai pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera akan dibentang dalam sidang Dewan Rakyat Julai ini. – Gambar fail The Maaysian Insight, 23 April, 2022.

LAPORAN Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera akan dibentang dalam sidang Dewan Rakyat Julai ini, kata Pengerusi PAC Wong Kah Woh.

Beliau berkata PAC juga meminta agar Yang Dipetua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun membenarkan laporan itu dibahaskan oleh Ahli Parlimen untuk tempoh sekurang-kurangnya sehari.

“PAC juga mencadangkan agar kerajaan mengambil kira pandangan laporan PAC yang bakal dibentang dan perbahasan Ahli-Ahli Parlimen sebelum mengambil keputusan yang melibatkan implikasi kewangan dalam isu pembangunan aplikasi itu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Wong berkata PAC mengadakan prosiding kedua mengenai isu itu pada Khamis lepas yang membabitkan tiga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) iaitu Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Katanya wakil agensi yang hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) JPM Sollehuddin Alyubi Zakaria dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Mohamad Ismail, Ketua Pengarah Mampu Dr Yusoff Ismail, Ketua Pengarah MKN Rodzi Md Saad serta Ketua Eksekutif NACSA Rahamzan Hashim.

Wong berkata prosiding pertama pada 14 April lepas dihadiri Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Prosiding pada Khamis memfokus kepada pihak terlibat dalam pelantikan syarikat KPI Soft Sdn Bhd (nama terkini Entomo Malaysia Sdn Bhd) untuk membangunkan MySejahtera, kelangsungan konsep CSR yang dicadangkan dan ketidakwujudan kontrak rasmi antara kerajaan dengan syarikat pembangun.

“Turut menjadi fokus PAC ialah pemilikan aplikasi MySejahtera khasnya pegangan harta intelek dan pendirian KPI Soft atau MySj Sdn Bhd terhadap tuntutan pemilikan harta intelek seperti yang termaktub dalam dokumen Mahkamah dan dokumen berkaitan,” katanya.

Beliau berkata PAC akan meneliti segala keterangan, dokumen serta minit mesyuarat yang diperoleh dan akan membuat keputusan sama ada memanggil saksi lanjut. – Bernama, 23 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen