MARIO Vargas Llosa, penerima Hadiah Nobel Sastera 2010 dimasukkan ke hospital selepas dijangkiti Covid-19, tetapi keadaanya “semakin stabil”, kata anak lelakinya pada Jumaat.
“Beberapa hari lepas, disebabkan komplikasi koronavirus, beliau dimasukkan ke klinik di Madrid,” kata Alvaro Vargas Llosa di Twitter.
“Terima kasih kerana rawatan diterima, keadaannya semakin stabil.”
“Beliau dan keluarga berterima kasih kerana perhatian diberikan dan kami meminta media menghormati privasinya,” tulisnya lagi, kenyataan itu ditandatangani oleh tiga anak penulis itu, Alvaro, Gonzalo dan Morgana.
Dilahirkan di Peru pada 1936, Varga Llosa mendapat kewarganegaraan Sepanyol pada 1993.
Sejak awal April, beliau menerbitkan karya terbarunya, “The Quiet Gaze (of Perez Galdos), rencana mengenai penulis Sepanyol, Benito Perez Galdos (1843-1920).
Minggu depan, beliau dijadualkan hadir memberi pembentangan biografi Miguel de Cervantes oleh Santiago Munoz-Machado, tetapi acara itu sudah ditangguhkan.
Penulis terakhir yang masih hidup daripada Generasi Emas gergasi sastera Amerika Latin, karya Vargas Llosa meneroka tema sejagat selalunya berlatar belakangkan negara asalnya, Peru.
Dikagumi kerana sering menggambarkan realiti sosial tetapi sering dikecam golongan intelektual Amerika Latin kerana prinsip konservatifnya, Vargas Llosa adalah antara nama besar gerakan sastera rantau itu yang terdiri antaranya Gabriel Garcia Marquez dan Julio Cortazar. – AFP, 23 April, 2022.
Komen