India, Britain sasar selesai rundingan FTA menjelang Oktober, kata Boris Johnson 


Perdana Menteri Britain Boris Johnson berkata Britain "menggunakan kebebasan Brexit" untuk mencapai pakatan perdagangan bebas dua hala dengan India.– Gambar EPA, 23 April, 2022.

INDIA dan Britain bercadang untuk menyelesaikan perbincangan mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA) menjelang Oktober, kata Perdana Menteri Britain Boris Johnson pada Jumaat.

Johnson yang dalam rangka lawatan sulungnya ke India berkata hubungan dua hala semakin berkembang dengan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti pertahanan, tenaga dan keselamatan melibatkan wilayah Indo-Pasifik.

Beliau berkata Britain “menggunakan kebebasan Brexit” untuk mencapai pakatan perdagangan bebas dua hala dengan India dan susulan perbincangannya dengan Perdana Menteri Narendra Modi.

“Saya beritahu jurunding kami untuk menyelesaikannya menjelang Deepavali pada Oktober,” katanya.

India dan Britain mula mengadakan rundingan rasmi mengenai FTA pada Januari dengan sasaran menggandakan dagangan dua hala menjelang 2030.

Johnson berkata “terdapat banyak potensi yang boleh memacu perdagangan dan pelaburan ke tahap baharu”.

Sepanjang lawatan dua harinya bermula 21 April, Britain memperoleh tawaran perniagaan baharu bernilai 1 bilion pound British (RM5.5 bilion).

“Perkongsian pertahanan dan keselamatan dua hala membolehkan India mengukuhkan industri pertahanan domestiknya serta melindungi kepentingan bersama di Indo-Pasifik,” katanya.– Bernama, 23 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen