Umat Islam di AS bayar zakat AS$1.8 billion tahun lalu


Umat Islam di AS membayar zakat berjumlah AS$1.8 bilion pada 2021 dengan sebahagian besar daripada jumlah itu disumbangkan pada Ramadan. – Gambar EPA, 22 April, 2022.

RAKYAT Amerika Syarikat (AS) yang beragama Islam membayar zakat berjumlah AS$1.8 bilion pada 2021, menurut Agensi Anadolu.

Umat Islam mengeluarkan purata zakat sebanyak AS$2,070 seorang, sebagai satu daripada lima rukun Islam, menurut laporan dikeluarkan Inisiatif Filantropi Muslim di Universiti Indiana Lilly Family School of Philanthropy di IUPUI pada minggu lepas.

Laporan itu menunjukkan umat Islam AS lebih cenderung melihat zakat sebagai tindakan dermawan atau kebajikan dan bukan cukai yang dikenakan pihak berkuasa agama.

Pengarah Inisiatif Kedermawanan Muslim Shariq Siddiqui berkata sebahagian besar daripada jumlah itu disumbangkan pada Ramadan.

“Adalah penting bagi organisasi badan amal mencari cara mendekati penderma Muslim-Amerika ketika Ramadan,” kata Siddiqui.

Penerima bantuan terbesar merupakan organisasi antarabangsa tidak berasaskan keuntungan, yang menerima 25.3% daripada dana zakat, menurut laporan itu. – Bernama, 22 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen