TENTERA Taliban telah menahan seorang suspek militan Negara Islam (IS) didakwa sebagai perancang serangan bom yang membunuh sekurang-kurangnya 12 jemaah di sebuah masjid Syiah di Afghanistan, kata polis pada Jumaat.
IS mendakwa ia telah meletupkan bom yang merobek masjid Seh Dokan semasa solat zohor di bandar utara Mazar-i-Sharif pada Khamis.
Serangan itu turut mencederakan 58 orang.
Jurucakap polis wilayah Balkh, Asif Waziri berkata, Abdul Hamid Sangaryar adalah dalang utama IS.
“Dia dalang serangan ke atas masjid semalam,” kata Waziri kepada AFP. Kementerian dalam negeri juga melaporkan penahanan Sangaryar, seorang warga Afghanistan.
“Dia main peranan penting dalam beberapa serangan sebelum ini dan telah berulang kali melarikan diri, tetapi kali ini kami tangkapnya dalam operasi khas,” kata Waziri.
IS juga mendakwa serangan bom berasingan di sebuah lagi bandar Kunduz di utara pada Khamis telah mengorbankan empat orang dan mencederakan 18 orang.
Kumpulan itu mengaku bertanggungjawab atas serangan maut di Afghanistan, selalunya terhadap golongan Syiah, walaupun jumlah pengeboman telah menurun sejak Taliban merampas kuasa pada Ogos tahun lepas.
Syiah Afghanistan kebanyakannya daripada komuniti etnik Hazara dan membentuk antara 10 dan 20 peratus daripada 38 juta penduduk negara itu. Mereka kerap menjadi sasaran IS, yang menganggap mereka sebagai sesat.
Awal minggu ini, sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dalam letupan berkembar di sebuah sekolah lelaki di kawasan kejiranan Syiah di Kabul.
Setakat ini belum ada mana-mana kumpulan mengaku bertanggungjawab.
Pegawai Taliban menegaskan tentera mereka telah mengalahkan IS, tetapi penganalisis berkata kumpulan jihad itu adalah cabaran keselamatan utama. – AFP, 22 April, 2022.
Komen