Penerbangan komersil pertama Sanaa, Yaman pada Ahad


Penerbangan komersial pertama dijadualkan berlepas dari lapangan terbang Sanaa, Yaman pada Ahad ke destinasi pertamanya Amman, Jordan. – Gambar AFP, 22 April, 2022.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyambut baik penerbangan komersial pertama selepas enam tahun yang dijadualkan berlepas dari lapangan terbang Sanaa, Yaman sebagai langkah penting terhadap persetujuan gencatan senjata selama dua bulan, lapor Xinhua, memetik jurucakap PBB pada Khamis.

Penerbangan itu dijadual berlepas pada Ahad ke destinasi pertamanya Amman, Jordan kata Stephane Dujarric, kata ketua jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

“PBB mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Hashemite Jordan atas sokongannya dalam mencapai persetujuan ini, dan kerajaan Yaman terhadap peranannya dalam menjayakan perkara ini.”

Badan dunia itu mengharapkan semua pihak yang terlibat untuk memastikan penerbangan itu berjaya, kata Dujarric.

Penerbangan itu merupakan elemen penting gencatan senjata yang dicapai antara kerajaan dan puak Houthi baru-baru ini melalui pengantaraan wakil khas PBB ke Yaman, Hans Grundberg.

“Grundberg bekerjasama dengan pihak berkaitan demi memastikan gencatan senjata tercapai, termasuk ada kemajuan dalam membuka laluan di Taiz dan daerah lain bagi memudahkan pergerakan rakyat Yaman dalam negara mereka,” kata Dujarric.

Grundberg juga berhubung dengan pelbagai entiti lain untuk mengukuh dan melanjutkan gencatan senjata serta membina momentum ke arah penyelesaian politik yang mampan.

Yaman dibelenggu perang saudara sejak akhir 2014, apabila Houthi menguasai beberapa wilayah utara dan memaksa kerajaan Yaman keluar dari Sanaa. – Bernama, 22 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen