NAGAENTHRAN Dharmalingam yang bakal menjalani hukuman gantung di Singapura minggu depan kerana mengedar dadah, perlu diekstradisi ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan di sini, kata kumpulan masyarakat sivil hari ini.
Mereka menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggunakan saluran diplomatik untuk memohon pemindahan banduan antarabangsa untuk Nagaenthran dibawa pulang.
Penyelaras Eksekutif Rangkaian Antihukuman Mati Asia (Adpan) Dobby Chew berkata di Malaysia terdapat proses undang-undang untuk membawa pulang banduan yang berada di luar negara.
“Kuasa untuk membawa balik banduan itu terletak pada KDN. Kami menghantar memorandum kepada menteri (Hamzah Zainudin) untuk memulakan proses ini bagi membawa Nagaentran pulang.
“Di bawah undang-undang antarabangsa, mereka yang mengalami masalah mental tidak boleh dikenakan hukuman mati. Tetapi, Singapura secara konsisten menafikan beliau (Nagaentran) mempunyai isu itu,” katanya di Putrajaya hari ini.
Turut hadir Lawyers for Liberty yang kemudiannya menyampaikan memorandum itu kepada pegawai komunikasi korporat KDN.
Dobby berkata mereka merayu kepada kerajaan bertindak tegas dan pantas untuk membawa kembali Nagaenthran melalui proses pemindahan banduan antarabangsa.
“Terdapat beberapa faktor yang diberi pertimbangan dalam mana-mana proses pemindahan banduan antarabangsa.
“Dalam kes Nagaenthran, faktor kemanusiaan di sebalik kesnya, seperti ketidakupayaan intelektual dan isu kesihatan mentalnya, menjadikan beliau calon utama kerajaan Malaysia mempertimbangkan untuk melibatkan kerajaan Singapura dalam memindahkan Nagaenthran pulang bagi menjalani hukuman di Malaysia.”
Peguam M Ravi mewakili Nagaenthran yang mengalami isu intelek berkata, beliau akan dihukum gantung pada Rabu depan.
Ravi dalam catatan di LinkedIn berkata Singapura “tidak akan pulih daripada aib yang akan dihadapinya di peringkat antarabangsa kerana menggantung seseorang yang kurang upaya dari segi intelek”.
“Semuanya dari awal tidak betul mengenai kes ini. Malah pakar psikiatri kerajaan pada perbicaraan itu mengakui Nagaentran mengalami kelainan minda,” katanya.
Penasihat Lawyers for Liberty N Surendran juga mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insight.
Nagaenthran, 34, mempunyai IQ 69, lebih rendah daripada skor purata yang layak bagi keupayaan intelek.
Beliau ditangkap pada 2009 dan dijatuhi hukuman mati pada 2011 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah kerana mengimport 42.7g diamorphine secara haram.
Beliau ditangkap dengan heroin yang diikat pada pahanya ketika memasuki negara itu dari Malaysia melalui pusat pemeriksaan Woodlands pada April 2009.
Nagaenthran pada asalnya dijadualkan menjalani hukuman gantung pada November tetapi ia mencetuskan kritikan kerana tahap IQ beliau dan peguamnya memfailkan cabaran di Mahkamah Rayuan.
Pada November, Yang di-Pertuan Agong menulis surat kepada presiden Singapura, memohon pengampunan bagi Nagaentran.
Pada bulan yang sama, penangguhan hukuman mati Nagaenthran dilanjutkan selepas disahkan positif Covid-19.
Pada 29 Mac, Nagaentran rayuan terakhirnya ditolak Mahkamah Rayuan Singapura.
Mahkamah memutuskan yang undang-undang antarabangsa mengenai pelaksanaan hukuman mati ke atas orang kurang upaya tidak terpakai. – 22 April, 2022.
Komen