RUSIA pada Khamis mengenakan larangan perjalanan terhadap Naib Presiden AS Kamala Harris, ketua Facebook Mark Zuckerberg dan puluhan rakyat Amerika dan Kanada yang terkenal sebagai tindakan balas terhadap sekatan dikenakan berhubung isu Ukraine.
Kementerian luar Rusia berkata sekatan perjalanan terhadap 29 warga Amerika dan 61 warga Kanada – yang turut termasuk pegawai pertahanan, pemimpin perniagaan dan wartawan dari kedua-dua negara – akan kekal berkuat kuasa bagi tempoh tidak pasti.
Kementerian luar berkata senarai itu terdiri daripada individu yang bertanggungjawab terhadap dasar “Russophobic” kedua-dua negara itu.
Di Washington, seorang pegawai yang menjadi sasaran, jurucakap Jabatan Negara Ned Price, berkata larangan perjalanan itu adalah “satu penghormatan.”
Ditanya sama ada beliau perlu membatalkan sebarang rancangan perjalanan ke Rusia, Price menyindir: “Nasib baik saya tidak mempunyai rubel dan jika ada, ia akan menjadi tidak bernilai sekarang.”
Amerika Syarikat (AS) mengetuai usaha antarabangsa untuk mengenakan sekatan menyeluruh ke atas Rusia susulan operasi ketenteraannya di Ukraine, menyebabkan huru-hara dalam ekonominya.
AS dan Kesatuan Eropah secara peribadi mengenakan sekatang terhadap beberapa rakyat Rusia termasuk Presiden Vladimir Putin, anak perempuannya dan oligarki yang dilihat sebagai penting kepada kuasa pemimpin Rusia.
Warga Amerika lain yang dikenakan sekatan pada Khamis oleh Rusia termasuk penyampai televisyen ABC News George Stephanopoulos, kolumnis Washington Post David Ignatius dan editor laman berita Meduza yang berfokus pada Rusia, Kevin Rothrock.
Selain Kirby, pegawai pertahanan AS termasuk Timbalan Setiausaha Pertahanan Kathleen Hicks.
Senarai rakyat Kanada pula didahului oleh Cameron Ahmad, yang berkhidmat sebagai pengarah komunikasi kepada Perdana Menteri Justin Trudeau, dan Komander Pasukan Gerakan Khas Kanada Steve Boivin.
Rusia sebelum ini mengharamkan Facebook dan Instagram, yang merupakan sebahagian daripada empayar Meta milik Zuckerberg, dan menggelarkan ia sebagai organisasi “pelampau”. – AFP, 22 April, 2022.
Komen