Pelan pembangunan semula Iraq tumpu sektor perumahan


Wakil Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Habitat) Iraq, Erfan Ali, berkata kemusnahan yang dilakukan Daesh amat besar terutama di kawasan kediaman berbanding sektor lain seperti penjagaan kesihatan, minyak dan gas, tenaga serta perdagangan. – Gambar EPA, 13 Februari, 2018.

RAKYAT Iraq mungkin berjaya menewaskan kumpulan militan Daesh, namun perjuangan lain baru sahaja bermula - perjuangan yang bersungguh-sungguh untuk membangunkan semula negara itu.

Wakil Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Habitat) Iraq, Erfan Ali, berkata kemusnahan yang dilakukan Daesh amat besar terutama di kawasan kediaman berbanding sektor lain seperti penjagaan kesihatan, minyak dan gas, tenaga serta perdagangan.

“Berdasarkan pengamatan kami, sektor perumahan adalah yang paling teruk musnah berbanding sektor lain, dengan 19.8 peratus daripada jumlah kemusnahan adalah dalam sektor perumahan.”

Bagi membantu pembangunan semula Iraq, UN Habitat akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Perancangan Iraq untuk membina sebuah platform data digital bagi memantau dan merancang kempen pembangunan semula dalam semua sektor,” katanya kepada Bernama pada hari kedua Persidangan Antarabangsa Kuwait mengenai Pembangunan Semula Iraq (KICRI) di Kuwait City pada Isnin.

Erfan berkata platform data digital itu telah dilancarkan, dan ia bakal menjadi satu alat yang efisien untuk mengesahkan ketelusan serta akauntabiliti proses pembangunan semula Iraq.

“Ia adalah satu alat interaktif di mana penderma kerajaan dan organisasi kebangsaan akan mempunyai akses untuk merancang dan mengelak pertindihan serta konflik dalam pelaksanaan projek di kawasan terjejas. Peperangan telah menyebabkan lebih 138,000 kediaman musnah dan sejumlah 2.5 juta rakyat Iraq masih tersingkir,” katanya.

Persidangan itu, yang dipengerusikan oleh Kuwait, menyaksikan Iraq mengeluarkan satu senarai mengandungi kira-kira 157 projek yang mencari pelaburan swasta pada acara dihadiri kira-kira 1,900 delegasi dari seluruh dunia.

Projek itu termasuk pembinaan semula kemudahan yang musnah seperti Lapangan Terbang Mosul dan pelaburan baharu untuk mempelbagaikan ekonomi jauh daripada penjualan minyak, dengan membangunkan pengangkutan, pertanian dan industri berasaskan kekayaan sumber tenaga negara, termasuk petrokimia dan penapisan minyak.

Pada 10 Disember 2017, Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi, mengumumkan bahawa kempen terhadap militan telah dimenangi secara rasmi, menamatkan pemerintahan selama tiga tahun kumpulan pengganas itu sejak mereka menawan bandar Mosul pada 2014.

Cengkaman militan ke atas negara itu mula goyah sejak tiga tahun setengah lepas apabila tentera darat Iraq, yang disokong oleh pakatan diterajui Amerika Syarikat, berjuang untuk merebut semula wilayahnya.

Para pegawai percaya sesetengah anggota militan telah melarikan diri ke Syria dan Turki. – Bernama, 13 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen