LIECHTENSTEIN bersedia mengemukakan draf resolusi pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dianggotai 193 ahli yang memerlukan mana-mana lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang memiliki kuasa veto untuk mewajarkan penggunaannya, lapor Agensi Anadolu.
Hak veto anggota tetap telah lama dibincangkan, bagaimanapun, isu itu kini menjadi perhatian sejak Rusia melancarkan operasi ketenteraan ke atas Ukraine hingga mengakibatkan ribuan orang terkorban.
Majlis itu dilihat tidak dapat menjalankan fungsinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila ada di antara ahlinya, menggunakan kuasa veto untuk kepentingan sendiri.
Resolusi itu mungkin diundi pada 26 April.
Jika diterima pakai, Perhimpunan Agung akan bersidang dalam tempoh 10 hari sekiranya ahli majlis tetap menggunakan kuasa veto terhadap sebarang resolusi, membahaskan isu yang diveto, dan meminta negara itu mempertahankan tindakannya.
Resolusi itu ditaja bersama 57 negara termasuk Amerika Syarikat dan Turki.
“Apabila Ahli Tetap menggunakan kuasa veto, ahli itu harus bersedia menjelaskan mengapa resolusi yang dipertikaikan tidak menjamin keamanan dan keselamatan antarabangsa,” kata wakil tetap AS ke PBB Linda Thomas-Greenfield dalam satu kenyataan minggu lalu.
“Kami amat bimbang dengan tindakan Rusia menyalahgunakan keistimewaan vetonya sejak dua dekad lalu,” tambahnya.
“Resolusi Perhimpunan Agung PBB mengenai veto akan menjadi langkah penting ke arah kebertanggungjawapan, ketelusan dan kewajiban semua Anggota Tetap Majlis Keselamatan.”
Rusia merupakan negara paling kerap menggunakan kelebihan itu.
Veto pertama digunakan oleh Kesatuan Soviet pada tahun 1946, dan Rusia setakat ini telah menggunakan kuasa veto itu terhadap 120 resolusi.
Rusia menggunakan kuasa veto ketika perang saudara Syria pada 2011, dan China memihak kepada Rusia dalam kebanyakan resolusi, termasuk satu mengenai penggunaan senjata kimia di Syria.
Rusia diikuti AS, antara negara paling kerap menggunakan keistimewaan itu. AS setakat ini telah menggunakannya terhadap 82 resolusi, kebanyakannya menentang keputusan terhadap Israel.
UK dan Perancis tidak menggunakan kuasa veto mereka sejak 1989.
Kelima-lima negara ini boleh menggunakan kuasa veto bagi menghalang sebarang cadangan atau draf resolusi yang dikemukakan. – Bernama, 21 April, 2022.
Komen