PRESIDEN China, Xi Jinping menyeru semua pihak untuk terus mara dengan penuh keyakinan tatkala mendepani pelbagai cabaran.
Ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian sidang tahunan Forum Asia Boao (BFA) pada Khamis, beliau berkata sejarah sudah membuktikan peri pentingnya untuk terus yakin mengharungi saat sukar.
Menurut Xi, umat manusia adalah komuniti berkongsi nasib dan setiap negara diharap untuk mengikut arus zaman “kedamaian, pembangunan, kerjasama dan situasi sama menang”.
“Untuk itu, kita seharusnya bersama-sama menjaga kesihatan dan nyawa, menggalakkan pemulihan ekonomi, memelihara dunia yang damai dan sentosa, serta menangani cabaran tadbir urus global,” katanya.
Beberapa dekad lalu, “keajaiban Asia” berjaya direalisasikan hasil daripada kestabilan menyeluruh dan pertumbuhan pesat.
Xi berkata Asia sebagai benua terbaik diharap mempamerkan ketahanan, kebijaksanaan dan kekuatan menerusi perkembangan masing-masing, di samping membina kestabilan, sumber pertumbuhan, dan kerjasama di dunia.
“Untuk itu, negara serantau diharap tidak berganjak daripada usaha memelihara kedamaian, dengan menjunjung tinggi ‘Lima Prinsip Hidup Bersama Secara Damai’ dan ‘Semangat Bandung’, mengamalkan dasar persahabatan dan kejiranan baik,” katanya.
Asia turut disaran untuk giat mendorong kerjasama serantau selaras dengan penguatkuasaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan beroperasinya Landasan Kereta Api China-Laos yang telah memperhebat kesalinghubungan dari segi perkakasan dan perisian.
Tambah Xi, mengambil momentum itu, benua terbabit diseru membentuk pasaran terbuka yang lebih besar.
“Negara serantau perlu mengintensifkan perpaduan, memperkukuh kedudukan ASEAN dalam kerangka serantau, memelihara tata tertib dengan mempertimbangkan kekhuatiran dan kepentingan semua pihak,” katanya.
Jelas Xi, China komited menyediakan peluang pasaran yang lebih luas, dan melaksanakan pembangunan baharu secara menyeluruh.
“Biarpun berlakunya perubahan di dunia, China sentiasa menjadi pembina kedamaian sedunia, penyumbang pembangunan global dan pemelihara tata tertib antarabangsa,” katanya.
Antara pemimpin asing dan ketua pertubuhan antarabangsa yang turut sertai forum itu secara maya termasuk Presiden Mongolia, Ukhnaagiin Khurelsukh, Presiden Nepal, Bidhya Devi Bhandari, Presiden Filipina Rodrigo Duterte, Perdana Menteri Kazakhstan, Alikhan Smailov dan Perdana Menteri Laos, Phankham Viphavanh serta Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva. – Bernama, 21 April, 2022.
Komen