AUSTRALIA tidak akan mencabar ekstradisi pengasas Wikileaks Julian Assange ke Amerika Syarikat (AS) dan mempunyai keyakinan terhadap sistem kehakiman Britain, kata seorang menteri kanan kerajaan pada Khamis.
Mahkamah Britain mengeluarkan perintah rasmi pada Rabu agar warga Australia itu diekstradisi ke AS, di mana beliau akan menghadapi perbicaraan kerana menerbitkan fail rahsia berkaitan peperangan di Iraq dan Afghanistan.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh berdepan hukuman penjara sehingga 175 tahun.
“Kami mempunyai keyakinan terhadap kebebasan dan integriti sistem keadilan Britain,” kata Senator Australia Simon Birmingham memberitahu ABC pada Khamis.
Kerajaan Australia tidak menentang ekstradisi itu, katanya.
“Ini adalah satu proses yang akan dapat terus berfungsi melalui sistem itu,” kata Birmingham, yang merupakan menteri kewangan Australia.
Berikutan perintah mahkamah Britain, peguam Assange mempunyai masa sehingga 18 Mei untuk membuat penghujahan kepada menteri dalam negeri Britain Priti Patel, yang memegang keputusan muktamad mengenai ekstradisinya.
Birmingham berkata hak rayuan Assange kekal—beliau boleh membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi—dan berkata Australia akan terus memberikan bantuan konsular kepada warganya yang dipenjarakan.
Gabungan 25 kumpulan hak asasi manusia—termasuk Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika, Pemerhati Hak Asasi Manusia dan Reporters Without Borders—mencabar ekstradisi Assange dengan mengatakan ia menimbulkan “ancaman besar terhadap kebebasan akhbar di AS dan di luar negara”.
Warga Australia itu berusaha mengelak ekstradisi selama lebih sedekad, berlindung di kedutaan Ecuador di London pada 2012 untuk mengelak diekstradisi ke Sweden berhubung tuduhan serangan seksual.
Beliau ditahan di penjara Belmarsh dengan keselamatan tinggi London sejak 2019 kerana melanggar syarat ikat jamin berhubung pendakwaan Sweden, yang digugurkan pada 2020. – AFP, 21 April, 2022.
Komen