Mahkamah Pakistan hukum mati 6 lelaki bunuh pengurus kilang


Priyantha Diyawadana dibunuh oleh sekumpulan lelaki selepas didakwa menghina agama Islam. – Gambar EPA, 21 April, 2022.

MAHKAMAH Pakistan pada Isnin menjatuhkan hukuman mati kepada enam lelaki dan puluhan individu lagi hukuman penjara antara dua tahun hingga seumur hidup kerana membunuh seorang pengurus kilang warga Sri Lanka yang dituduh menghina agama Islam.

Serangan secara berkumpulan di Sialkot pada 3 Disember lalu menyebabkan kemarahan, dengan perdana menteri ketika itu Imran Khan menggelarnya sebagai “hari memalukan bagi Pakistan”.

Beberapa isu di Pakistan dianggap sebagai menghina agama, malah sedikit pun kata penghinaan terhadap Islam boleh menimbulkan protes dan membawa kepada kematian di luar mahkamah.

Pada Isnin, pendakwa raya berkata 88 daripada 89 orang individu yang dibicarakan bagi pembunuhan Priyantha Diyawadana disabitkan kesalahan, dengan enam dijatuhi hukuman mati, sembilan dihukum penjara seumur hidup dan selebihnya penjara antara dua hingga lima tahun.

“Pasukan pendakwaan bekerja keras untuk membentangkan kesnya kepada mahkamah dan mencapai penghakiman ini,” kata Abdul Rauf Wattoo, ketua pendakwa raya.

“Kami berpuas hati dengan keputusannya.”

Perbicaraan itu diawasi oleh mahkamah khas antikeganasan, yang ditubuhkan untuk mempercepatkan proses undang-undang bagi kes berprofil tinggi yang boleh mengambil masa bertahun lamanya.

Pegawai polis memberitahu AFP, ketika kejadian pembunuhan berlaku terdapat khabar angin tersebar yang Diyawadana mengoyak poster agama dan membuangnya ke dalam tong sampah.

Beberapa klip video ngeri yang dikongsi di media sosial menunjukkan kumpulan perusuh memukul mangsa yang tidak berdaya sambil melaungkan slogan menentang penghinaan.

Klip lain menunjukkan mayat Diyawadana terbakar.

Ramai dalam kumpulan itu tidak cuba menyembunyikan identiti mereka dan ada yang mengambil swafoto di depan mayat yang terbakar.

Hafiz Israr ul Haq, peguam bagi salah seorang lelaki yang dijatuhkan hukuman mati, menggelar keputusan itu “tidak adil”.

“Ini adalah kes keganasan perusuh dan dalam kes seperti itu tiada peranan individu dapat dipastikan dengan jelas,” katanya kepada AFP.

Kumpulan hak asasi manusia berkata tuduhan menghina agama selalunya boleh digunakan untuk menyelesaikan dendam peribadi, dengan minoriti sebahagian besarnya menjadi sasaran.

Pada April 2017, kumpulan perusuh yang marah membunuh pelajar universiti Mashal Khan apabila mangsa dituduh menyiarkan kandungan menghina agama dalam talian.

Sepasang suami isteri beragama Kristian digantung dan mayat mereka dibakar di Punjab pada 2014 selepas dituduh secara palsu mencemari Al-Quran. – AFP, 21 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen