POLIS mengekalkan perintah berkurung di tengah Sri Lanka pada Rabu, sehari selepas pembunuhan penunjuk perasaan antikerajaan dalam protes yang mencetuskan kecaman antarabangsa.
Kerajaan berjanji akan menyiasat dakwaan yang polis menggunakan kekerasan untuk menyuraikan orang ramai yang membantah harga bahan api yang tinggi dan menuntut Presiden Gotabaya Rajapaksa letak jawatan kerana krisis ekonomi yang semakin teruk.
Sri Lanka berada kemelesetan ekonomi paling teruk sejak merdeka pada 1948, dengan elektrik kerap terpadam, kurang bahan api dan barangan lain serta mencatatkan inflasi tinggi.
“Saya telah pun memulakan siasatan ke atas tingkah laku pegawai di Rambukkana,” kata ketua polis Chandana Wickramaratne dalam satu kenyataan sambil mengarahkan perintah berkurung tanpa had di kawasan itu.
Orang ramai hendak membakar sebuah kapal tangki diesel apabila pegawai melepaskan tembakan untuk bersurai di Rambukkana, 95 kilometer timur ibu negara, kata polis dalam satu kenyataan sebelum ini.
Dalam pertempuran maut pertama sejak protes antikerajaan tercetus bulan ini, sekurang-kurangnya 29 orang termasuk 11 anggota polis cedera, kata pegawai.
Duta terkemuka yang berpangkalan di Colombo, termasuk dari Amwrika Syarikat (AS), Britain dan Kanada, menyatakan kebimbangan terhadap kejadian tembakan polis, menggesa agar semua pihak menahan diri ketika Sri Lanka mengadakan rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa di Washington.
“Penyiasatan penuh dan telus adalah penting dan hak rakyat untuk bantahan secara aman mesti dipertahankan,” kata duta AS Julie Chung.
Pesuruhjaya Tinggi Britain Sarah Hulton berkata: “Saya mengutuk keganasan dalam semua bentuk.”
Rrakan sejawatnya dari Kanada, David McKinnon berkata “mereka yang mencetuskan keganasan mesti bertanggungjawab”.
Dalam beberapa jam, polis melepaskan gas pemedih mata untuk mematahkan satu lagi protes di selatan pulau itu, tetapi tiada laporan segera mengenai kematian, kata pegawai dan penduduk.
Polis bergerak untuk menyuraikan orang yang menduduki jalan utama dan menahan lalu lintas di Matara, 160 kilometer selatan Colombo, kata penduduk. – AFP, 20 April, 2022.
Komen