Nagaenthran dihukum mati di Singapura Rabu depan, kata peguam


Elill Easwaran

Pada 29 Mac Nagaenthran Dharmalingam gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap hukuman mati apabila kesnya ditolak oleh Mahkamah Rayuan Singapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2022.

NAGAENTHRAN Dharmalingam, seorang warga Malaysia cacat mental dan berdepan hukuman mati di Singapura kerana mengedar dadah akan dikenakan hukuman gantung Rabu depan, kata peguam M. Ravi.

“Baru sahaja menerima berita yang menyayat hati bahawa Nagaenthran akan digantung pada Rabu depan,” kata Ravi dalam hantaran di Linkedln.

Penasihat Lawyers for Liberty (LFL) N.Surendran juga mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insight.

Nagaenthran, 34, yang mempunyai IQ 69 lebih rendah daripada skor purata yang layak untuk hilang upaya intelek.

Dia ditangkap pada 2009 dan dijatuhi hukuman mati pada 2011 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah kerana mengimport 42.7g diamorphine secara haram.

Dia ditangkap dengan seikat heroin yang diikat pada pahanya ketika memasuki Republik itu dari Malaysia melalui pusat pemeriksaan Woodlands pada April 2009.

Dia pada asalnya dijadualkan dihukum gantung pada November tetapi keputusan itu mendapat kritikan berikutan tahap IQnya dan peguamnya mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Ravi dalam hantaran di Linkedlnnya hari ini berkata Singapura “tidak akan pulih dari kehinaan yang akan dihadapinya di peringkat antarabangsa kerana menggantung seseorang yang kurap upaya dari segi intelek”.

“Semuanya dari awal tidak betul berkenaan kes ini. Malah pakar psikiatri kerajaan pada perbicaraan itu mengakui Nagaentran mengalami kelainan minda,” katanya.

Pada November Yang di-Pertuan Agong menulis surat kepada presiden Singapura memohon pengampunan bagi Naagenthran. 

Pada November penangguhan hukuman mati Nagaenthran dilanjutkan selepas di disahkan positif Covid-19.

Pada 29 Mac Nagaenthran gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap hukuman mati apabila kesnya ditolak oleh Mahkamah Rayuan Singapura.

Mahkamah memutuskan undang-undang antarabangsa mengenai pelaksanaan hukuman mati ke atas orang kurang upaya tidak terpakai. – 20 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen