Zuma ingkar arahan ANC untuk letak jawatan presiden Afrika Selatan


Keengganan Jacob Zuma untuk meletak jawatan sebagai Presiden Afrika Selatan menyebabkan berlaku pertelingkahan antara presiden itu dengan bakal penggantinya, Cyril Ramaphosa, yang kini merupakan pemimpin baharu ANC. – Gambar EPA, 13 Februari, 2018.

PRESIDEN Afrika Selatan yang dipalit skandal, Jacob Zuma dilaporkan enggan menuruti arahan dari parti pemerintah, African National Congress (ANC) supaya meletakkan jawatan.

Ini menyebabkan berlaku pertelingkahan antara presiden itu dengan bakal penggantinya, Cyril Ramaphosa, yang kini merupakan pemimpin baharu ANC.

170 ahli jawatankuasa kebangsaan parti itu bermesyuarat selama 13 jam di sebuah hotel di luar Pretoria dan awal hari ini telah memutuskan Zuma perlu meletak jawatan.

Ramaphosa dan setiausaha parti, Ace Magashule, secara peribadi meminta Zuma meletak jawatan di kediaman rasmi presiden di Pretoria tengah malam tadi.

“Zuma sangat angkuh. Dia beritahu mereka yang dia tak akan ke mana-mana kerana tidak melakukan kesalahan,” seorang ahli jawatankuasa ANC tidak mahu dikenali memberitahu akhbar The Mail dan Guardian.

“Katanya, dia akan bertindak balas jika ANC mengeluarkan kenyataan memintanya meletak jawatan.”

Satu sumber lain memberitahu laman web Times Live yang Ramaphosa telah merayu kepada Zuma supaya meletak jawatan, namun Zuma menjawab dia tidak akan berbuat demikian.

ANC - yang pernah dipimpin pemimpin perjuangan apartheid, Nelson Mandela - dilaporkan menolak permintaan Zuma untuk notis tiga bulan sebelum meletak jawatan dan sebaliknya memberi tempoh 48 jam. – AFP, 13 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen