SATU bahan letupan meletup di sebuah bar di negeri Taraba timur laut Nigeria pada Selasa, membunuh tiga orang dan mencederakan 19 yang lain, kata pihak polis.
Letupan berlaku di tempat minum terkenal berhampiran pasar lembu di kampung Iware, di luar ibu negeri Jalingo.
“Kami mengesahkan tiga orang terbunuh dan 19 cedera parah dalam letupan itu,” kata jurucakap polis negeri Taraba, Usman Abdullahi kepada AFP.
“Bahan letupan itu ditanam oleh orang yang belum dikenal pasti tetapi siasatan sedang dijalankan,” kata Abdullahi.
Taraba adalah satu daripada beberapa negeri utara yang dimusnahkan oleh kumpulan bersenjata pencuri binatang ternakan yang menyerang kampung, membunuh penduduk dan merompak kediaman serta menculik orang untuk wang tebusan.
Walaupun penduduk menyalahkan kumpulan itu berhubung serangan itu, Abdullahi berkata terlalu awal untuk menuduh sebelum siasatan menyeluruh dilakukan.
Penggunaan bahan letupan kumpulan bersenjata jarang berlaku.
Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat hubungan antara pengganas dan geng bersenjata yang didorong motif kewangan tanpa bersandarkan sebarang ideologi.
Bulan lalu lelaki bersenjata mengebom landasan kereta api, menggelincirkan kereta api dan menyerbu masuk ke gerabak orang kenamaan, membunuh sekurang-kurangnya lapan penumpang dan menculik puluhan yang lain.
Pihak berkuasa menyalahkan pengganas dan geng bersenjata berhubung serangan itu.
Geng bersenjata yang secara rasmi diisytiharkan sebagai pengganas pada Januari, mengekalkan kem di sebuah hutan luas yang melingkari negeri Zamfara, Katsina, Kaduna dan Niger. – AFP, 20 April, 2022.
Komen