PEMIMPIN Myanmar yang digulingkan Aung San Suu Kyi dijangka menerima keputusan pertama bagi satu daripada perbicaraan rasuahnya minggu depan, kata satu sumber kepada AFP pada Selasa, dengan kemungkinan berdepan hukuman penjara 15 tahun.
Pemenang Hadiah Nobel itu ditahan sejak kerajaannya digulingkan dalam rampasan kuasa tahun lalu yang mencetuskan protes besar-besaran, dan beliau berdepan dengan pelbagai pertuduhan yang boleh menyebabkannya dijatuhkan hukuman penjara lebih 150 tahun.
Pemimpin berusia 76 tahun itu sudah pun dijatuhkan hukuman enam tahun kerana melanggar peraturan Covid-19 dan peraturan import walkie-talkie, tetapi ini adalah keputusan yang pertama daripada kes rasuahnya.
Mahkamah junta dijangka membuat keputusan pada Isnin mengenai dakwaan beliau menerima rasuah daripada bekas ketua menteri Yangon Phyo Min Thein, sumber yang mengetahui kes itu memberitahu AFP.
Keputusan bersalah akan membawa hukuman sehingga 15 tahun penjara.
Wartawan dihalang daripada prosiding dan peguamnya dilarang daripada bercakap kepada media.
Pada November, Suu Kyi dan 15 pegawai lain, termasuk bekas presiden Myanmar Win Myint, juga didakwa atas dakwaan penipuan semasa pilihan raya 2020.
Sejak rampasan kuasa, ramai sekutu politiknya ditangkap, dengan seorang ketua menteri dijatuhi hukuman penjara 75 tahun. Yang lain bersembunyi.
Di bawah rejim junta sebelum ini, Suu Kyi menghabiskan tempoh yang lama di bawah tahanan rumah di kediaman keluarganya di Yangon. – AFP, 20 April, 2022.
Komen