Rusia arah 31 lagi diplomat Eropah keluar


Kementerian luar Rusia mengisytiharkan 15 diplomat dari Belanda sebagai 'persona non grata' dan memberi mereka masa dua minggu untuk pergi. – Gambar EPA, 20 April, 2022.

RUSIA pada Selasa berkata mengusir 31 diplomat dari tiga negara Eropah dalam satu tindakan yang dicetuskan oleh operasi ketenteraannya di Ukraine.

Kementerian luar Rusia mengisytiharkan 15 diplomat dari Belanda sebagai “persona non grata” dan memberi mereka masa dua minggu untuk pergi.

Moscow memberikan tarikh akhir yang sama kepada kakitangan kedutaan Belgium susulan keputusannya mengusir keluar 21 utusan Rusia bulan lalu.

Kementerian luar Belgium memberitahu AFP langkah itu melibatkan 12 diplomat.

Moscow juga memberi tempoh kepada empat diplomat Austria sehingga Ahad untuk pergi, menegaskan putusnya hubungan dengan negara yang relatif neutral sejak Perang Dingin.

Belgium menyifatkan keputusan Rusia “sama sekali tidak wajar dan tidak berasas” dan kesal dengan langkah yang menambah “pengasingan diplomatik antarabangsa Rusia”.

Menteri Luar Belanda Wopke Hoekstra berkata: “Kami sekarang akan melihat apa akibat yang akan timbul daripada fakta begitu ramai rakan sekerja terpaksa meninggalkan Moscow dan Saint Petersburg.”

Pengumuman Moscow dibuat seminggu selepas Canselor Austria Karl Nehammer menjadi pemimpin Eropah pertama melawat Presiden Rusia Vladimir Putin sejak Kremlin melancarkan operasi ketenteraannya di Ukraine pada 24 Februari.

Serangan itu menyebabkan pemisahan antarabangsa terhadap Rusia dan memutuskan banyak hubungan ekonominya dengan Barat.

Rusia masih belum bertindak balas terhadap keputusan Jerman dan Perancis yang masing-masing menghantar pulang 40 wakil khas Moscow, bermakna kemungkinan lebih banyak pengusiran tidak lama lagi.

Moscow pada Selasa juga memanggil utusan Luxembourg, memberi amaran kepadanya yang Rusia mungkin memutuskan untuk mengambil langkah timbal balik berikutan pengusiran negara kecil Eropah itu terhadap duta Moscow.

Kementerian luar Rusia menggelar keputusan Belanda mengusir utusan Moscow sebagai “tidak berasas” dan langkah yang diambil oleh Belgium sebagai “provokatif”.

Kementerian itu berkata pengusiran empat warga Rusia oleh Austria “merosakan kedua-dua hubungan dua hala dan prestij antarabangsa Austria dengan serius”. – AFP, 20 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen