Polis Johor nafi kadar jenayah meningkat susulan pembukaan sempadan


Sempadan Malaysia-Singapura dibuka semula pada 1 April lalu susulan fasa peralihan ke endemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2022.

POLIS Johor menafikan dakwaan kadar jenayah di negeri itu meningkat selepas sempadan Malaysia-Singapura semula dibuka berikutan kedudukan jenayah indeks terkawal dan tidak menunjukkan sebarang kenaikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Shahurinain Jais berkata pihaknya, menerusi Operasi Lejang yang dilancarkan di seluruh negeri pada 27 Mac lalu sehingga kini, berjaya menurunkan kes jenayah terutama membabitkan harta benda.

Beliau berkata, sebanyak 526 pemeriksaan di premis dilakukan yang membawa kepada penahanan 30 individu, disyaki terbabit dalam kecurian kenderaan dan rampasan 24 kenderaan.

“Kami mengesan satu kenyataan palsu tular di media sosial berkaitan kemungkinan berlaku peningkatan jenayah apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka. Polis Johor ingin menegaskan kenyataan itu palsu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai apa jua yang ditularkan dan menyemak dahulu kesahihan maklumat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Negara memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April dengan beberapa kelonggaran termasuk pembukaan sempadan negara dan premis perniagaan boleh beroperasi mengikut masa lesen perniagaan masing-masing.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor Amran Md Jusin dalam kenyataan berasingan memaklumkan kes penipuan Macau Scam melalui kaedah penyamaran sebagai pegawai kerajaan menunjukkan peningkatan ketara tahun ini berbanding 2021 yang menyaksikan kerugian RM9.556 juta setakat semalam.

Beliau berkata, jumlah kerugian itu direkodkan daripada 209 kes sejak 1 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Johor M Kumarasan pula memaklumkan pihaknya mengeluarkan 2,350 saman atas pelbagai kesalahan melalui pemeriksaan terhadap 10,035 kenderaan termasuk 3,723 motosikal dalam Operasi Khas Samseng Jalanan.

“Jumlah pemeriksaan individu seramai 12,815 orang dan 10,035 kenderaan diperiksa dengan 208 kenderaan disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya sambil menambah operasi seminggu bermula 9 April lalu di seluruh Johor bertujuan menangani isu mat rempit yang semakin berleluasa.

Beliau berkata, dalam operasi itu, seramai 39 lelaki dan tiga wanita berumur lingkungan 14 hingga 53 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta APJ 1987 serta Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mereka diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan lanjut. – Bernama, 19 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen