KELUARAN Dalam Negara Kasar (KDNK) China pada suku pertama 2022 mencatat RMB27 trilion (RM17 trilion), meningkat 4.8% berbanding tempoh sama tahun lalu dan menokok 1.8% berbanding suku keempat tahun lalu.
Jurucakap Jabatan Statistik Negara (NBS), Fu Linghui pada Selasa berkata, ekonomi domestik tahun ini berdepan impak amat besar ekoran situasi antarabangsa, serta penularan wabak dalam negara.
“Bagaimanapun, kerajaan pusat dan tempatan giat menstabilkan ekonomi makro, menangani risiko dan cabaran secara berkesan, sehingga mewujudkan pemulihan berterusan dan pemantapan ekonomi pada permulaan tahun ini,” katanya.
Pada suku pertama 2022, jumlah import eksport meningkat 10.7%, manakala penggunaan pelaburan langsung asing (FDI) pula melonjak 25.6%.
Sementara itu, Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat 1.1%. Walaupun indeks terbabit meningkat 1.5% pada Mac, iaitu lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya, namun ia masih dalam julat yang munasabah.
Selain itu, sebanyak 2.85 juta peluang kerja disediakan di dalam dan luar bandar, dengan kadar pengangguran seluruh negara berada pada kadar 5.5% secara purata, 0.1% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Kerajaan China mengurangkan kadar cukai dan yuran, memperhebat sokongan terhadap ekonomi sebenar, supaya membantu perusahaan mengatasi kesukaran, mewujudkan pembangunan serta menstabilkan pekerjaan.
“Di samping itu, langkah yang diambil bagi menggalakkan permulaan perusahaan baharu dan amalan inovasi juga kondusif bagi pertambahan peluang kerja.
“Latihan kemahiran vokasional dan bantuan pekerjaan berfaedah bagi penyelarasan antara permintaan dan bekalan di pasaran,” kata Fu.
Beliau berkata, kelancaran logistik asas penting bagi beroperasinya ekonomi secara sihat, termasuk rantaian perindustrian dan bekalan barangan keperluan harian rakyat.
Fu berkata, China akan terus melancarkan pencegahan dan kawalan wabak, mempergiat jaminan kelancaran, menumpukan kepada langkah pragmatik untuk mendinamikkan ekonomi. – Bernama, 19 April, 2022.
Komen