TAMAN Botani Negara China yang dibina dengan kerjasama Institusi Botani Akademi Sains China dan Taman Botani Beijing, dibuka dengan rasminya pada Isnin.
Berkeluasan 600 hektar, taman itu dijangka akan menjalinkan kerjasama dengan taman botani dan institut yang berkaitan dari lebih 100 buah negara, sekali gus membentuk jalinan kesepakatan, perkongsian dan interaksi komprehensif di peringkat antarabangsa.
Naib ketua biro pemeliharaan haiwan dan tumbuhan liar jabatan pentadbiran hutan dan padang rumput kebangsaan, Zhou Zhihua berkata, China akan terus memperkasa sistem taman botani negara.
“Usaha itu untuk mencapai matlamat perlindungan terhadap 85% tumbuhan liar tempatan dan semua spesies tumbuhan liar dalam senarai perlindungan utama di China,” katanya.
Terdahulu pada Oktober 2021, China mengemukakan rancangan pembinaan sistem taman botani negara di Beijing dan Guangzhou sempena Sidang Kemuncak Persidangan Ke-15 Penandatangan Konvensyen Kepelbagaian Biologi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP15).
Justeru, penubuhan Taman Botani Negara adalah susulan langkah pelaksanaan rancangan itu.
Untuk rekod, China adalah antara negara dengan kepelbagaian tumbuhan paling banyak di dunia dengan melebihi 37,000 spesies tumbuhan peringkat tinggi dikenal pasti.
Menerusi penubuhan Taman Botani Negara ia akan dapat meningkatkan lagi usaha perlindungan kepelbagaian biologi di China. – Bernama, 19 April, 2022.
Komen