Exco Kelantan saran pengamal media buat caruman Perkeso


WARTAWAN atau pengamal media termasuk berstatus sambilan di Kelantan disaran supaya mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Mumtaz Md Nawi berkata di sebalik tanggungjawab menyampaikan berita kepada masyarakat dalam pelbagai situasi, wartawan juga perlu memberi perhatian kepada kebajikan serta keselamatan diri mereka.

“Ada wartawan yang tetap, kontrak dan sambilan jadi saya sarankan supaya mereka mencarum dengan Perkeso supaya mereka dilindungi di bawah SKSPS.

“Bayaran Perkeso sangat murah, namun mereka dilindungi dengan pelbagai skim termasuk pencen ilat,” katanya pada sidang media pada Majlis Makan Colek Bersama Ahli Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), di Kota Bharu malam tadi.

Mumtaz berkata sebagai sebuah persatuan yang mewakili pengamal media Kelantan, Kemudi juga boleh mengadakan perbincangan bersama Perkeso untuk mencari kaedah terbaik supaya ahlinya dapat mencarum dengan badan tersebut.

“Persatuan boleh bersama-sama mempunyai perancangan dan perbincangan dengan Perkeso supaya mereka dapat dilindungi di bawah sistem perlindungan pekerja,” katanya. – Bernama, 19 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen