CRISTIANO Ronaldo dan pasangannya Georgina Rodriguez pada Isnin mengumumkan bayi lelaki mereka yang baru lahir telah meninggal dunia.
Ronaldo mendedahkan dalam hantaran di media sosial pada Oktober lalu pasangan itu menjangkakan anak kembar.
“Dengan rasa sedih, kami perlu umumkan bayi lelaki kami telah meninggal dunia. Ia adalah kesedihan paling dahsyat yang boleh dirasai oleh mana-mana ibu bapa,” kata Ronaldo dan Rodriguez dalam satu kenyataan bersama.
“Hanya kelahiran bayi perempuan kami memberi kami kekuatan untuk menjalani detik ini dengan sedikit harapan dan kebahagiaan. Kami ingin ucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat atas semua penjagaan dan sokongan mereka.
“Kami semua kecewa dengan kehilangan ini dan kami mohon privasi pada masa yang sangat sukar ini.”
Pasangan itu, yang bertemu semasa Ronaldo di Real Madrid, mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun bersama, manakala Ronaldo mempunyai tiga lagi anak.
“Kesdihan anda adalah kesedihan kami, Cristiano,” tulis pasukan bola sepak Manchester United. “Mengirimkan kasih sayang dan kekuatan kepada anda dan keluarga pada masa ini.”
Real Madrid juga membalas dengan berkata di laman web, “Presiden dan Lembaga Pengarah amat dukacita dengan kematian salah seorang kanak-kanak yang dinanti-nantikan oleh Cristiano Ronaldo dan pasangannya, Georgina Rodriguez. Real Madrid turut bersedih dengan seluruh keluarga dan ingin menunjukkan kepada mereka semua cinta dan kasih sayang kami.” – AFP, 19 April, 2022.
Komen