PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden tidak bercadang untuk melawat Kyiv, walaupun rakan sejawat Ukraine Volodymyr Zelensky menggesanya menunjukkan sokongan memerangi Rusia dengan hadir ke ibu negara tersebut, kata Rumah Putih pada Isnin.
“Saya ulangi, tiada rancangan untuk presiden melawat,” kata Setiausaha Akhbar Jen Psaki kepada pemberita.
Beberapa pemimpin Eropah telah membuat lawatan ke Kyiv dan bertemu dengan Zelensky.
Bagaimanapun, lawatan Biden akan memberikan cabaran keselamatan yang lebih kompleks. Pentadbiran Biden berkata ia sebaliknya mahu menghantar seorang pegawai berpangkat tinggi, kemungkinan besar Setiausaha Negara Antony Blinken atau Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin.
Minggu lalu, Biden berkata “kami membuat keputusan itu,” walaupun menjawab “ya” apabila ditanya wartawan sama ada beliau akan ke Ukraine.
Ketua jurucakap Biden itu mengesahkan terdapat harapan untuk membuka semula kedutaan AS di Kyiv, walaupun tidak memberi tahu bila.
“Itu sememangnya objektif kami. Jelas sekali kehadiran diplomatik di lapangan adalah penting,” kata Psaki.
Dalam temu bual yang disiarkan CNN pada Ahad, Zelensky berkata “Saya rasa” Biden akan melawat, “tetapi sudah tentu ia adalah keputusannya, dan bergantung kepada situasi keselamatan.”
“Saya fikir beliau adalah pemimpin Amerika Syarikat dan itulah sebabnya beliau harus datang ke sini untuk lihat.” – AFP, 19 April, 2022.
Komen