Rejim Israel serang Semenanjung Gaza, kata Hamas


Api dan kepulan asap kelihatan ketika serangan udara rejim Israel di selatan Semenanjung Gaza pada awal Selasa, yang menurut Hamas hanya mengenai "tapak kosong". – Gambar AFP, 19 April, 2022.

ISRAEL melancarkan serangan di Semenanjung Gaza pada Selasa sebagai tindak balas terhadap roket yang dilepaskan dari kawasan Palestin, kata saksi dan Hamas.

Pesawat Israel menyerang selatan Semenanjung Gaza, kata saksi, manakala pasukan bersenjata Hamas mengumumkan ia telah menembak pesawat Israel.

“Tahniah kepada pasukan yang menentang jet pejuang itu dengan pertahanan antipesawat kami,” kata jurucakap Hamas Hazem Qassem dalam satu kenyataan, mendakwa serbuan Israel mengenai “tapak kosong”.

Saksi dan sumber keselamatan di Semenanjung Gaza melaporkan tiada kecederaan daripada serangan tersebut, yang berlaku sejurus selepas sistem pertahanan udara Iron Dome Israel memintas tembakan roket dari Gaza.

“Sebagai tindak balas kepada serangan ini, jet pejuang Israel telah menyerang tapak pembuatan senjata Hamas di Semenanjung Gaza,” kata tentera Israel.

Serangan roket dan serangan udara balas muncul selepas keganasan rejim Israel terhadap Palestin pada hujung minggu di dalam dan sekitar Masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis yang mencederakan lebih 170 orang Palestin. – AFP, 19 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen