Rusia melancarkan serangan besar ke timur Ukraine semalam, kata pihak berkuasa Kyiv.
Moscow ketika ini sedang membuka fasa baharu pencerobohannya selepas digagalkan dalam usaha menawan ibu negara itu.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini kempen ketenteraan Rusia memfokuskan semula di wilayah timur Donbas yang sebahagiannya dikawal oleh pemisah pro-Moscow sejak 2014.
“Kami kini mengesahkan bahawa tentera Rusia telah memulakan pertempuran di Donbas yang sudah dirancang sejak sekian lama.
“Tidak kira berapa ramai askar Rusia yang dibawa ke sini kami akan berjuang. Kami akan mempertahankan diri kami,” kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menerusi Telegram semalam.
Pihak berkuasa Ukraine menggesa orang ramai di Donbas melarikan diri ke barat.
Kawalan Donbas akan membolehkan Moscow mewujudkan koridor selatan ke semenanjung Crimean yang diduduki.
Di selatan Donbas Rusia meneruskan usahanya untuk menawan bandar pelabuhan Mariupol yang terkepung di mana pasukan tentera Ukraine yang masih berbaki tetap dengan pendirian mereka untuk terus bertahan.
Rusia semalam turut menyerang sasaran di seluruh negara dan membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang di bandar Lviv di barat.
Lviv sebahagian besarnya terhindar dari pengeboman sejak Rusia menyerang pada 24 Februari dan bandar itu dan sekitar menjadi lokasi agak selamat bagi mereka yang mencari perlindungan daripada zon perang.
“Tetapi hari ini kami faham dengan jelas bahawa kami tidak mempunyai sebarang tempat selamat di Ukraine. Ia sangat berbahaya,” kata seorang pekerja bank yang hanya dikenali sebagai Natalia kepada AFP. – AFP, 18 April, 2022.
Komen