Mesir kurangkan hukuman penjara selebriti TikTok kepada 3 tahun


Hukuman penjara pempengaruh TikTok Mesir Haneen Hossam dikurangkan dari 10 tahun ke 3 tahun atas kesalahan pemerdagangan manusia. – Gambar EPA, 18 April, 2022.

MAHKAMAH Mesir mengurangkan hukuman 10 tahun atas kesalahan “pemerdagangan manusia” terhadap pempengaruh TikTok Haneen Hossam kepada tiga tahun, kata sumber kehakiman kepada AFP semalam.

Walaupun tempoh penjara dikurangkan Hossam juga didenda 200,000 pound Mesir oleh Mahkamah Jenayah Kaherah, kata sumber itu.

Penyasaran pengaruh wanita mencetuskan semula perdebatan hangat di negara Islam yang sangat konservatif itu mengenai apa yang membentuk kebebasan individu dan nilai sosial.

Hossam pertama kali ditangkap pada 2020 dan bersama seorang lagi pempengaruh Mowada al-Adham dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana “melanggar nilai masyarakat” dalam video mereka.

Mahkamah rayuan membebaskan pasangan itu pada Januari tahun lalu tetapi mereka kemudian didakwa atas tuduhan “pemerdagangan manusia” kerana kononnya mengaut keuntungan daripada aktiviti media sosial “tidak sopan” kanak-kanak perempuan.

Hossam didakwa atas satu video yang memberitahu 1.3 juta pengikutnya pada aplikasi perkongsian video bahawa remaja perempuan boleh membuat wang dengan bekerja dengannya di media sosial.

Kemudian dia dijatuhkan hukuman tanpa kehadian dan ditangkap pada Jun lalu.

Adham menerima hukuman penjara enam tahun dan denda 200,000 paun. Dia masih dalam penjara.

Peguam Hossam Hussein al-Baqar mengesahkan kepada AFP bahawa hukuman itu sudah dikurangkan. Memandangkan dia sudah menjalani 21 bulan termasuk dalam siasatan, dia boleh dibebaskan pada Jun atau Julai, kata Baqar sambil menambah hukuman terbaru masih boleh dirayu.

Kesnya kembali ke mahkamah di bawah proses rutin kerana dia tidak lagi hadir.

Menyasarkan wanita dalam media bukanlah sesuatu yang luar biasa di Mesir di mana beberapa penari gelek dan penyanyi pop menjadi sasaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini atas kandungan dalam talian yang dianggap terlalu tidak senonoh.

Mesir sejak beberapa tahun lalu menguatkuasakan kawalan internet yang ketat melalui undang-undang yang membenarkan pihak berkuasa menyekat laman web yang dilihat sebagai ancaman kepada keselamatan negara dan memantau akaun media sosial peribadi dengan lebih 5,000 pengikut. – AFP, 18 April, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen