8 orang awam terbunuh di timur Ukraine


Kira-kira lapan orang awam terbunuh dalam serangan Rusia semalam di wilayah timur Ukraine, Donestk. – Gambar EPA, 18 April, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA lapan orang awam terbunuh dalam serangan Rusia semalam di wilayah timur Ukraine Donetsk dan Lugansk, kata pihak berkuasa tempatan.

Empat maut ketika mereka cuba melarikan diri dari bandar Kreminna yang ditawan tentera Rusia semalam, kata Gabenor Wilyah Lugansk Sergiy Gaiday di Telegram.

“Beberapa orang cuba melarikan diri dan Orc (pasukan Rusia) menembak kereta yang dinaiki mereka. Kesemua mereka maut serta-merta,” katanya sambil menambah seorang lagi cedera.

Empat orang awam lain maut dalam pengeboman Rusia di wilayah Donetsk sekitar 20 kilometer dari timur Kreminna, menurut Gabenor Wilayah Pavlo Kyrylenko.

“Dua di Torske, satu di Chandrigalove dan satu di Razldolne. Lima orang lagi cedera,” katanya di Telegram.

Rusia menumpukan semula usaha ketenteraannya di wilayah Donbas timur Ukraine selepas mengundurkan tentera dari wilayah sekitar ibu kota Kyiv. 

Setiausaha Majlis Keselamatan dan Pertahanan Ukraine Oleksiy Danilov mengesahkan serangan Rusia di timur semalam.

“Hampir di seluruh barisan hadapan di wilayah Donetsk, Lugansk dan wilayah Kharkiv, penceroboh cuba menembusi pertahanan kami.

“Nasib baik tentera kita bertahan,” katanya.

Gaiday semalam mengesahkan Kreminna telah jatuh ke tangan tentera Rusia.

Di bandar kedua Ukraine Kharkiv tiga orang maut dan 15 cedera selepas serangan Rusia, menurut Gabenor Wilayah Oleg Sinegubov. – AFP, 18 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen