Kebolehan bersatu kekuatan terbesar Ismail Sabri, kata pemerhati politik


Chan Kok Leong

Pemerhati politik menyifatkan keupayaan Ismail Sabri Yaakob menyatukan semua puak berbeza dalam Umno sebagai kekuatan terbesar perdana menteri berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2022.

KEKUATAN terbesar Ismail Sabri Yaakob ialah kebolehannya untuk menyatukan semua puak yang berbeza dalam Umno, kata pemerhati politik.

Malah Ismail juga mampu bekerjasama dengan pembangkang, kata Dr Kamarul Zaman Yusoff.

“Beliau boleh dianggap sebagai pemimpin akomodatif dan perundingan.

“Walaupun tidak dilihat sebagai ‘bersinar’ Ismail berjaya mengelak daripada masalah besar sama ada dalam erti kata masalah peribadi atau masalah dengan kuasa lain,” kata pensyarah sains politik Universiti Utara Malaysia (UUM).

Kamarul berkata kritikan terhadap Ismail adalah tidak berasas kerana beliau berjaya melaksanakan kesemua enam tuntutan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno selepas menjawat jawatan perdana menteri.

Antaranya ialah kerjasama bipartisan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan, pengurusan wabak Covid-19, menyediakan lebih banyak bantuan kepada perusahaan kecil yang terjejas akibat wabak itu, mengukuhkan Parlimen, memulakan suruhanjaya diraja siasatan mengenai Tabung Haji dan menyiasat semula isu berkaitan bekas peguam negara Tommy Thomas dan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Kamarul mengulas keputusan Umno baru-baru ini untuk menamakan Ismail sebagai calon perdana menteri mereka pada pilihan raya umum akan datang.

Walaupun Ismail dilihat kurang “menarik” berbanding pemimpin Umno lain sepert timbalan presiden Mohamad Hasan, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, naib presiden Khaled Nordin atau bekas menteri kewangan Johari Abdul Ghani, Kamarul percaya ahli Parlimen Bera itu adalah calon Umno yang terbaik.

“Daripada semua nama lain Ismail adalah satu-satunya yang memegang jawatan ketua pembangkang di Parlimen justeru beliau tahu bagaimana untuk berurusan dengan parti pembangkan dengan baik,” kata ahli akademik itu.

Beliau menambah Ismail adalah aset terbesar Umno kerana beliau boleh diterima oleh parti di luar Umno.

“Ismail sekali lagi akan menjadi sangat penting jika Umno tidak mampu memenangi PRU15 sendiri,” kata Kamarul.

Exco Umno Bahagian Batu Norhisham Abdul Mutalib berkata “pencalonan” Ismail adalah langkah yang baik.

“Ini akan menunjukkan bahawa Umno mengambil berat tentang kestabilan untuk komuniti perniagaan dan bukan kepentingan diri sendiri,” katanya. – 19 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen