Turki lancar operasi antikeganasan rentas sempadan di utara Iraq


Menteri Pertahanan Turki Hulusi Akar berkata pasukan komando dan anggota khas dibantu pesawat udara tanpa pemandu (UAV), helikopter dan artileri, menyasarkan kawasan Metina, Zap dan Avasin-Basyan. – Gambar EPA, 18 April, 2022.

TURKI melancarkan operasi baharu antikeganasan rentas sempadan yang menyasarkan lokasi persembunyian kumpulan pengganas PKK di utara Iraq, lapor Agensi Andolu.

Menteri Pertahanan Hulusi Akar hari ini berkata dalam Operasi Claw-Lock itu, pasukan komando dan anggota khas dibantu pesawat udara tanpa pemandu (UAV), helikopter dan artileri, menyasarkan kawasan Metina, Zap dan Avasin-Basyan.

Beliau berkata lokasi persembunyian, depoh peluru, ibu pejabat dan rangkaian terowong telah dimusnahkan. 

Sementara itu, Kementerian Pertahanan memaklumkan operasi itu dilancarkan selepas kumpulan pengganas merancang untuk melancarkan serangan besar-besaran.

Operasi itu adalah untuk mempertahankan diri selari dengan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Naib Presiden Fuat Oktay menerusi Twitter berkata Turki tetap meneruskan perjuangan menentang kumpulan pengganas serta penajanya, di dalam mahupun di luar sempadan.

Pengganas PKK sering bersembunyi di utara Iraq dan merancang serangan rentas sempadan di Turki.

Operasi Claw-Tiger dan Claw-Eagle dilaksanakan kerajaan di sempadan utara Iraq pada 2020 bagi menjamin keselamatan sempadan serta rakyat. 

PKK disenarai sebagai organisasi pengganas oleh Turki, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah - dan turut bertanggungjawab ke atas kematian sekurang-kurangnya 40,000 orang, termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi. – Bernama, 18 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen